Kanye West.
Kanye West.
Syah Rul Aswari Abdullah

AWAL bulan lalu, dunia dikejutkan dengan pengumuman penyanyi rap terkenal, Kanye West untuk bertanding sebagai presiden Amerika Syarikat (AS). Apa tidaknya, pengumuman dibuat kira-kira empat bulan sebelum pemilihan rasmi pada November.

Bagi kebanyakan pihak, tempoh masa itu adalah terlalu suntuk untuk pengumuman berkenaan. Apatah lagi, kebanyakan individu yang mahu bertanding jawatan presiden lazimnya akan mengumumkan hasrat bertanding dan memulakan kempen mereka sejak Januari.

Ini memandangkan sistem pemilihan presiden di negara yang unik iaitu Electoral College. Secara ringkas, rakyat Amerika tidak memilih presiden mereka secara langsung. Tetapi tanggungjawab itu terletak pada 583 elector atau pemilih yang terdiri daripada Ahli Dewan Perwakilan dan Senator.

Sebagai perbandingan mudah, jika di Malaysia, mereka adalah ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan Senator Dewan Negara. Mereka inilah diberikan tanggungjawab untuk memilih presiden secara rasmi pada November.

Bagi rakyat AS, mereka awal-awal lagi memilih untuk presiden dengan memilih Ahli Dewan Perwakilan dan Senator. Ini memandangkan calon yang mengisi Kongres (jika di Malaysia, Parlimen) akan terlebih dahulu mengumumkan calon Presiden yang mereka akan sokong.

Justeru, rakyat AS akan mengundi Ahli Dewan Perwakilan dan Senator berdasarkan kecenderungan calon itu memilih bakal presiden. Sebagai contoh, si A akan mengundi si B sebagai ahli Kongres kerana si B menyokong Donald Trump sebagai presiden.

Sistem pemilihannya juga unik apabila jumlah elector diberikan berdasarkan saiz negeri, manakala penjumlahan undi setiap negeri berdasarkan winner takes it all'. Maksudnya, jika Trump menang di California yang mempunyai 55 elector atau pemilih, Trump akan meraih 55 undi manakala pesaingnya tidak mendapat undi.

Bunyinya seperti kompleks bukan? Namun, bukan itu yang mahu penulis bincangkan kali ini. Berbalik kepada West, ramai yang pelik memandangkan beliau membuat pengumuman itu ketika beberapa negeri menutup pencalonan untuk pemilihan presiden. Tambahan pula, beliau tidak dicalonkan sebagai calon presiden parti utama di AS iaitu Republikan atau Demokrat.

Secara ringkas, presiden AS lazimnya dicalonkan oleh dua parti ini. Jika di Malaysia, West ibaratnya masih berstatus calon Bebas yang tidak bertanding mewakili sama ada Pakatan Harapan Plus atau Perikatan Nasional. Mengikut sejarah, presiden AS lazimnya dipilih daripada calon yang disokong atau mewakili sama ada Republikan atau Demokrat.

Ada juga yang ragu-ragu apabila rapper berstatus bilionair itu mengumumkan perkara itu di tengah-tengah protes besar-besaran bagi membantah apa yang didakwa sebagai keganasan polis dan perkauman di Amerika Syarikat. Tambahan pula, ia dibuat ketika penyanyi itu baru sahaja mengeluarkan single terbaharunya.

West sebenarnya tidak sunyi dengan kontroversi. Sejak mencelah ucapan penyanyi Taylor Swift pada siaran langsung Anugerah Video Muzik MTV pada 2009, beliau juga pernah mencetuskan kontroversi apabila ciapannya di Twitter seakan menyokong pesalah seks, Bill Cosby pada 2016.

Ini belum dikira kenyataan apabila dia membandingkan perhambaan kulit hitam selama 400 tahun sebagai 'pilihan' dan bukannya penindasan ketika ditemu bual saluran TMZ pada Mei 2018. Beliau menyatakan sokongan kepada Donald Trump ketika membuat penampilan dalam rancangan Saturday Night Live pada 29 September tahun sama.

Namun, itu semua hanya 'sedikit' berbanding kenyataan menggemparkan oleh West baru-baru ini. Ia tidak lama selepas beliau mengumumkan hasrat untuk bertanding sebagai presiden. West sama ada sengaja atau tidak mendedahkan pernah mahu menceraikan isterinya, bintang realiti dan ahli perniagaan, Kim Kardashian, menerusi media sosial. Dalam satu laporan lain, beliau mendakwa pernah mempertimbangkan supaya Kim menggugurkan kandungan ketika wanita itu mengandung anak sulung mereka.

West sekali lagi memohon maaf di Twitter atas kenyataan itu. Namun, ia sebenarnya menyingkap rahsia dia mengalami gangguan bipolar. Ini diakui Kim di Instagram.

Pengumuman pencalonan presiden kini menyingkap masalah kesihatan dihadapi West.

Bagaimanapun, bagi majalah berpengaruh Forbes, hasrat West untuk bergelar presiden tidak perlu dipandang serius. Apa tidaknya, pencalonan untuk pemilihan presiden sudah ditutup di negeri seperti Texas, Indiana, North Carolina dan New Mexico. Ia hanya empat daripada 50 negeri. Tetapi dua daripada negeri yang disebutkan adalah antara negeri terpenting daripada segi jumlah elector. Pada masa sama, ada banyak negeri lain yang akan menutup permohonan bagi pemilihan sama dalam masa terdekat.

Selain itu, kebanyakan rakyat AS sudah lama memilih antara siapa yang mereka mahukan sebagai presiden sama ada Donald Trump (Republikan) dan pesaingnya, bekas Naib Presiden Joe Biden (Demokrat). Pengkritik berpendapat Biden akan diumumkan secara rasmi mewakili Demokrat pada konvensyen parti itu, bulan depan.

Pengkritik juga berpendapat pengumuman West hanya cakap-cakap kosong seperti individu berpengaruh dan berprofil tinggi lain yang berhasrat mahu mahu menjadi Presiden AS. Hakikatnya, rapper itu sebenarnya langsung tidak bersedia untuk menggalas tugas berkenaan.

Tambahan pula, gimik seperti ini tidak diperlukan oleh rakyat AS yang masih bergelut dengan pandemik Covid-19. Graf jangkitan di negara itu masih tidak melandai dengan 4.4 juta kes dan lebih 150,000 kematian. Ia kekal menjadikan AS negara dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi di dunia.

Justeru, daripada berdebat mengenai impian gila seorang rapper kaya yang mahu memimpin negara, lebih baik rakyat AS menumpukan kepada cara untuk mengekang penularan pandemik berkenaan. Apa yang perlu dilakukan West pula adalah mengikut nasihat Kim untuk mendapat rawatan bagi gangguan bipolarnya!

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 7:00 AM