JOE Biden. FOTO AFP
JOE Biden. FOTO AFP
AFP

Washington: Peguam negeri Michigan mendakwa seorang lelaki atas dakwaan mengugut untuk membunuh Presiden Joe Biden, dan dua ahli politik mewakili Parti Demokrat iaitu Speaker Dewan Perwakilan Nancy Pelosi dan Gabenor Michigan Gretchen Whitmer.

Pada Januari, Joshua Doctor, 21, didakwa memuat naik pelbagai hantaran 'berbentuk ugutan' di platform mesia sosial iFunny, kata Peguam negeri Michigan Dana Nessel, dalam satu kenyataan.

Dalam hantaran berkenaan, Doctor berkata, dia akan menggunakan senjata api untuk menembak dan membunuh pegawai yang dipilih, apa yang disifatkannya sebagai pencetus revolusi baharu Amerika Syarikat.

Kenyataan itu juga berkata, telefon bimbit Doctor mengandungi maklumat mengenai cara membut bom dan di mana untuk mencari bahan diperlukan untuk membuat bahan letupan berkenaan.

Doctor, yang menyerah diri pada Selasa, didakwa dengan dakwaan jenayah mengikut akta keganasan dan menggunakan komputer untuk melakukan jenayah, dengan kedua-dua pertuduhan memperuntukkan hukuman sehingga penjara 20 tahun.

Lelaki itu akan tampil pertama kali di hadapan hakim pada 8 April ini.

Kerajaan Amerika Syarikat pada akhir Januari mengeluarkan amaran anti-keganasan yang kali pertama memfokuskan kepada ugutan terhadap Biden.

Ketika berucap pada upacara mengangkat sumpah sebagai presiden pada 20 Januari, Biden berazam untuk mengalahkan kebangkitan pelampau politik, keagungan kulit putih, dan keganasan domestik.

Dua minggu sebelumnya pada 6 Januari, ratusan penyokong bekas presiden Donald Trump termasuk kumpulan pelampau menyerang bangunan Capitol di Washington dalam usaha untuk menghalang pengesahan keputusan pilihan raya presiden.

Pada Oktober 2020, Whitmer turut menjadi sasaran kumpulan kecil berhaluan kiri yang merancang untuk menculiknya selepas marah dengan penguatkuasaan sekatan pergerakan (lockdown).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 9:18 AM