Agensi

Mexico City: Anggota badan ditemukan di dalam 45 beg di bandar raya Mexico, Guadalajara, sudah dikenal pasti milik lapan pekerja pusat panggilan yang dilaporkan hilang pada Mei lalu.

Institut Sains Forensik Jalisco mengeluarkan laporan pada Selasa mengesahkan perkara itu.

Waris mangsa sudah dimaklumkan, kata agensi itu.

Portal Independent melaporkan, seorang daripada tujuh individu yang hilang ialah Carlos Valladolid, 23, warga Amerika Syarikat (AS) dari Arizona. Kakaknya, Itzel Valladolid, 27, juga antara yang hilang.

Jorge Moreno, 28; Mayra Velazquez, 29; Arturo Robles, 30; Jesus Salazar, 37; dan Carlos GarcĂ­a, 31, juga antara yang hilang.

Operasi pencarian pekerja yang hilang selepas 20 Mei lalu itu berakhir dengan penemuan puluhan beg berisi anggota badan di dalam gaung, minggu lalu, menurut CNN.

BEG berisi mayat itu ditemukan di dalam gaung di pinggir bandar Guadalajara. FOTO Pejabat Pendakwa Raya Jalisco
BEG berisi mayat itu ditemukan di dalam gaung di pinggir bandar Guadalajara. FOTO Pejabat Pendakwa Raya Jalisco

Beg-beg itu ditemukan di Zapopan, pinggir bandar Guadalajara.

Pendakwa Raya Louis Joaquin Mendez Ruiz berkata, beg itu dicampak ke dalam gaung.

Pejabat pendakwa berkata, laporan awal mendapati mayat sepadan dengan ciri fizikal beberapa orang muda di pusat panggilan yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Pada masa ini, motif kejadian masih tidak jelas, tetapi Setiausaha Keselamatan Mexico, Rosa Icela Rodriguez Velazquez pada minggu lalu berkata, pekerja itu mungkin terbabit dalam penipuan hartanah atau peras ugut menerusi telefon.

Namun, bukti sedia ada secara umum tidak dapat mengesahkan dakwaan berkenaan.

Pendakwa raya juga sedang menyiasat sama ada Kartel Jalisco Nueva Generacion terbabit atau tidak dalam kejadian itu.

Lebih 1,500 mayat ditemukan di negeri Jalisco sejak 2018, menurut data negeri.

Pendakwa raya khas negeri untuk orang hilang berkata, 291 mayat ditemukan pada 2019, dan 544 ditemukan pada 2020. Pada 2023, 147 mayat ditemukan, termasuk pekerja pusat panggilan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 11:24 AM