AP

Washington: Rangka tengkorak Tyrannosaurus rex (T-Rex) yang ditemukan di Dakota Selatan, Amerika Syarikat (AS) dijangka dijual pada harga AS$15 juta (kira-kira RM70.7 juta) atau lebih, pada lelongan di New York, bulan depan, kata pegawai Sotheby's pada Selasa.

Menurut rumah lelong itu, fosil tengkorak seberat 91 kilogram diberi nama Maximus itu dijual oleh seorang pemiliknya yang enggan dikenali.

Ketua Sains dan Budaya Popular Sotheby's, Cassandra Haton berkata, rangka dinasour itu ditemukan pada 2020 dan tahun lalu di Harding County, Dakota Selatan.

Ia lokasi sama beberapa rangka T rex lain seperti Sue dan Stan ditemukan.

Haton memanggil kawasan itu "ibu kota dunia untuk T-Rex."

Kebanyakan daripada rangka T-Rex ini musnah dari semasa ke semasa akibat hakisan, tetapi pakar Sotheby's berkata, tengkorak itu adalah penemuan utama.

Fosil berukuran dua meter itu berusia kira-kira 76 juta tahun dan masih mempunyai banyak tulang tengkorak luar dan gigi, kata pakar di Sotheby's.

Hatton berkata, dua lubang tusukan besar di tengkorak adalah bukti pergaduhan besar, mungkin dengan satu lagi T-Rex.

"Kami tidak tahu bahawa ia (lubang tusukan) adalah punca kematian haiwan itu tetapi boleh mengatakan ada pergaduhan besar ketika hayatnya.

"Tanda pada tengkorak itu menarik untuk dikaji kerana ia memberi kita gambaran mengenai kehidupan semasa Zaman Batu Kapur," kata Hatton.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 2:17 PM