PESAWAT 737 MAX dihasilkan dalam kilang Boeing di Renton, Washington. FOTO Reuters
PESAWAT 737 MAX dihasilkan dalam kilang Boeing di Renton, Washington. FOTO Reuters
AFP

Washington: Keluarga mangsa nahas pesawat Boeing 737 MAX menuntut pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) meneruskan pendakwaan jenayah dan mengenakan denda sehingga AS$24.8 bilion (RM116.81 bilion) ke atas gergasi penerbangan itu.

Langkah itu dibuat sehari selepas Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Dave Calhoun mengakui graviti masalah keselamatan syarikat dan memberi jaminan kepada panel kongres AS bahawa pihaknya sedang menguruskan masalah itu.

Seorang peguam untuk keluarga mangsa, Paul Cassell menulis dalam surat kepada Jabatan Kehakiman AS berkata, denda maksimum lebih AS$24 bilion adalah wajar di sisi undang-undang kerana jenayah Boeing adalah jenayah korporat paling maut dalam sejarah AS.

"Lembaga Pengarah Boeing harus diarahkan untuk bertemu dengan keluarga mangsa.

"Keluarga itu juga percaya kerajaan harus segera mendakwa jenayah terhadap pegawai korporat yang bertanggungjawab di Boeing pada masa kedua-dua kemalangan itu berlaku," katanya.

Dokumen setebal 32 muka surat itu menerangkan pengiraan di sebalik jumlah yang diminta, mengatakan Boeing harus didenda maksimum AS$24,780,000,000 (kira-kira RM116.71 bilion), dengan mungkin AS$14 bilion (kira-kira RM65.94 bilion) hingga AS$22 bilion (RM103.63 bilion) daripada denda yang digantung, dengan syarat Boeing menyalurkan dana berkenaan kepada pemantauan korporat dan penambahbaikan dalam kepatuhan program keselamatan yang dikenal pasti.

Nahas membabitkan Boeing 737 MAX berlaku di Indonesia dan Habsyah pada 2018 dan 2019 yang meragut 346 nyawa dan berlaku ketika Boeing menghadapi penelitian yang lebih intensif berikutan masalah pembuatan dan keselamatan baru-baru ini.

Syarikat penerbangan gergasi itu sekali lagi menjadi tumpuan umum sejak insiden 5 Januari lalu apabila sebuah jet 737 MAX yang dikendalikan Alaska Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas panel fiuslaj meletup semasa dalam penerbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 1:17 PM