Contoh pesawat Boeing 737 MAX.
Contoh pesawat Boeing 737 MAX.
Bisnes HM


MALAYSIA Airlines menegaskan ia tidak mempunyai sebarang pesawat Boeing 737 MAX yang digunakan dalam operasinya ketika ini.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan nasional itu sudah meminta penjelasan daripada Boeing bagi mendapatkan butiran teknikal lanjut mengenai pesawat berkenaan susulan kejadian terhempas pesawat Boeing 737 MAX 8 milik Ethiopian Airlines semalam.

Malaysia Airlines meminta penjelasan teknikal lanjut itu memandangkan ia sudah membuat tempahan pesawat berkenaan yang dijangka menerimanya pada 2020.

“Malaysia Airlines tidak mempunyai apa-apa pesawat B737 MAX dalam barisan pesawat kami ketika ini. Masih terlalu awal untuk kami membuat sebarang komen kerana sebab kemalangan (pesawat jenis berkenaan terhempas) belum diketahui,” katanya sambil mengucapkan takziah kepada mangsa kejadian malang itu.

Ia berkata demikian bagi mengulas sama ada syarikat penerbangan nasional itu menggunakan pesawat berkenaan ketika ini dalam operasinya.

Pesawat Boeing 737 milik Ethiopian Airlines yang dalam penerbangan ke Nairobi, Kenya terhempas pada Ahad. Kejadian dilapor berlaku pada jam 8.44 pagi waktu tempatan sejurus selepas pesawat itu berlepas dari Addis Ababa dan dikatakan membawa 149 penumpang bersama lapan kru.

Pesawat Boeing 737 MAX 8 itu didakwa baru digunakan sekitar empat bulan lalu.

Pada 2016, Malaysia Airlines mengumumkan janji niaga dengan Boeing bagi membeli 50 pesawat Boeing 737 MAX.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 5:08 PM