Tamara Banks. FOTO Agensi
Tamara Banks. FOTO Agensi
Agensi

Los Angeles: Seorang wanita dikenali sebagai Tamara Banks, 41, baru-baru ini, dihukum penjara sembilan tahun selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian anak perempuannya, Karmity Hoeb, selepas memberi mangsa minuman berkarbonat manis yang diletakkan dalam botol susu.

Mangsa yang berusia empat tahun ditemukan mati dengan hampir semua giginya reput.

Memetik laporan Metro UK, selain Banks, suaminya, Christopher Hoeb, 53, juga didakwa atas tuduhan pembunuhan, menyebabkan kematian dan tuduhan membahayakan kanak-kanak.

Pendakwa raya menggugurkan pertuduhan lain terhadap pasangan itu selepas mereka bersetuju untuk mengaku bersalah atas menyebabkan kematian mangsa.

Kedua mereka didakwa oleh Penolong Pendakwa Raya Daerah Clermont, Clay Tharp.

"Tiada bukti ditemukan Karmity berjumpa doktor gigi.

"Kanak-kanak ini tidak perlu mati. Ini adalah salah satu kes paling tragis yang pernah saya temukan," katanya.

Menurut pendakwa raya, punca kematian Karmity ditentukan sebagai diabetik ketoasidosis, satu keadaan yang mengancam nyawa penghidap diabetes.

Dia menghidap diabetes tetapi ia tidak didiagnosis dan tidak dirawat dalam tempoh lama.

Mangsa ditemukan tidak bertindak balas pada Januari 2022 sebelum dikejarkan ke hospital tempatan.

Doktor mengisytiharkan otak kanak-kanak itu sudah mati, dan alat sokongan hidup ditanggalkan dia ketika dirawat di Pusat Perubatan Hospital Kanak-kanak Cincinnati.

Kanak-kanak yang menghidap diabetes boleh mendapat sakit dengan cepat, boleh koma atau mati, jika tidak menerima rawatan, kata Presiden Akademi Pediatrik Amerika Syarikat cawangan Ohio, Chris Peltier.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2024 @ 2:19 PM