HIND Rajab. FOTO Bulan Sabit Merah Palestin/ Reuters
HIND Rajab. FOTO Bulan Sabit Merah Palestin/ Reuters
AFP

Gaza: Memilukan apabila seorang kanak-kanak perempuan di Gaza berusia enam tahun ditemukan mati, beberapa hari selepas budak itu dilaporkan merayu pertolongan menerusi panggilan telefon kepada agensi perubatan.

Hind Rajab merayu untuk diselamatkan selepas kereta keluarganya diserang di Bandar Gaza yang dilanda perang.

Serangan itu menyebabkan dia seorang diri dalam ketakutan dan cedera dengan dikelilingi mayat saudara-maranya.

"Saya sangat takut. Tolong panggil seseorang untuk bantu mendapatkan saya," katanya dalam panggilan telefon dalam sangat terdesak kepada Bulan Sabit Merah Palestin.

Tetapi selepas lebih dua minggu usaha keras untuk menghubungi kanak-kanak itu semula dan agensi pertolongan cemas itu cuba mendapatkan lokasinya, mayat Hind akhirnya ditemukan pada Sabtu.

Mayat Hind ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat, bersama-sama mayat dua pekerja penyelamat Bulan Sabit Merah Palestin yang ketika kejadian dihantar untuk mencari kanak-kanak itu dan saudara-maranya.

Bulan Sabit Merah Palestin dan kementerian kesihatan di Semenanjung Gaza yang dikendalikan Hamas mengesahkan penemuan memilukan itu, dan menyalahkan tentera Israel terhadap kejadian itu.

AMBULANS yang musnah akibat serangan Israel. Ia adalah ambulans yang dihantar bagi menyelamatkan Hind Rajab. FOTO Reuters
AMBULANS yang musnah akibat serangan Israel. Ia adalah ambulans yang dihantar bagi menyelamatkan Hind Rajab. FOTO Reuters

Kumpulan pejuang Hamas menggesa kumpulan hak asasi manusia dan masyarakat antarabangsa untuk mendokumentasikan apa yang dipanggil sebagai jenayah ngeri.

Ibu Hind, Wissam Hamada, meletakkan kesalahan anaknya itu terkorban kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, dan 'semua mereka yang bersekongkol menentang Gaza dan rakyatnya'.

"Saya akan membela kematian anak ini di hadapan Tuhan pada hari kiamat, hari penghakiman sebenar," katanya.

Kanak-kanak mati pada kadar yang membimbangkan di Gaza, kata agensi Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).

Ribuan terbunuh dan ramai lagi cedera dengan yang lain berisiko kerana kekurangan makanan, air dan ubatan, tambah agensi itu.

Hind kali terakhir didengari jeritannya selepas terperangkap di dalam kenderaan, keluarga bersama saudara-mara lain ketika mereka cuba melarikan diri dari Bandar Gaza daripada serangan Israel.

"Hind dan semua orang di dalam kereta itu syahid," kata datuk gadis itu, Baha Hamada, kepada AFP pada Sabtu lalu.

Sebilangan ahli keluarga menemukan mereka ketika pergi ke kawasan Tel al-Hawa, Bandar Gaza untuk mencari kereta itu berhampiran stesen minyak tempat ia kali terakhir dikesan, kata datuknya.

"Kami dapat sampai ke kawasan itu kerana tentera Israel berundur awal pada waktu Subuh," tambah Hamada, salah seorang yang terakhir bercakap dengan gadis itu melalui telefon.

"Dia dibunuh oleh tentera penjajah Israel. Semua orang yang bersamanya di dalam kereta di luar stesen minyak di Tel al-Hawa turut terbunuh," kata Kementerian Kesihatan pula dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 11:20 AM