ORANG ramai berkumpul di Union Square, New York, bagi menuntut Israel menghentikan serangan di Gaza. FOTO AFP
ORANG ramai berkumpul di Union Square, New York, bagi menuntut Israel menghentikan serangan di Gaza. FOTO AFP
Reuters

Washington: Amerika Syarikat (AS), pada Isnin, menggesa jeda perang selama enam minggu antara Israel dan Palestin di Gaza, sebagai pemangkin ke arah gencatan senjata yang lebih lama.

Presidennya, Joe Biden berkata, pentadbirannya sedang bekerjasama dengan sekutu di rantau itu untuk perjanjian bagi menghentikan pertempuran, membebaskan tebusan dan peningkatan aliran bantuan kemanusiaan.

Biden berkata demikian dalam pertemuannya dengan Raja Jordan, Abdullah di Rumah Putih.

Kedua-dua pemimpin turut berbincang mengenai cabaran dihadapi termasuk serangan darat Israel di selatan Gaza dan ancaman bencana kemanusiaan dalam kalangan orang awam Palestin.

Biden sebelum ini menunjukkan kegusaran yang semakin meningkat apabila Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanayhu tidak mengedahkan nasihatnya.

Menurut Biden, perjanjian itu akan bermula dengan jeda dalam pertempuran sekurang-kurangnya enam minggu yang kemudiannya membolehkan masa untuk "sesuatu yang lebih bertahan lama".

"Seperti yang dibincangkan Raja Abdullah dan saya hari ini (semalam), Amerika Syarikat sedang mengusahakan perjanjian antara Israel dan Hamas yang akan membawa tempoh tenang serta-merta dan berterusan ke Gaza selama sekurang-kurangnya enam minggu, yang kemudiannya kita boleh meluangkan masa untuk membina sesuatu yang lebih berkekalan.

"Sepanjang bulan lalu, saya mengadakan panggilan dengan Perdana Menteri Netanyahu, serta pemimpin Mesir dan Qatar untuk meneruskan perkara ini.

"Elemen utama perjanjian itu ada di atas meja. Terdapat jurang yang kekal, tetapi saya menggalakkan pemimpin Israel untuk terus berusaha untuk mencapai perjanjian itu. Amerika Syarikat akan melakukan segala yang mungkin untuk merealisasikannya," tegas Biden lagi.

Dalam sidang media sama, Raja Abdullah mengulangi gesaan untuk gencatan senjata yang lebih meluas.

"Kita tidak boleh berdiam diri dan membiarkan perkara ini berterusan. Kita perlukan gencatan senjata yang berkekalan sekarang. Perang ini mesti berakhir," kata Raja Abdullah.

Pertemuan itu diadakan ketika Biden semakin lantang dalam tuntutannya supaya Israel tidak melakukan serangan darat di bandar Rafah, selatan Gaza tanpa rancangan untuk melindungi orang awam Palestin.

Kementerian Kesihatan Palestin menganggarkan lebih 28,000 orang di Gaza, terbunuh dalam pertempuran antara Israel dan pejuang Hamas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 2:46 PM