ASAP tebal kelihatan di ruang udara Gaza susulan serangan terbaru Israel. FOTO Reusters
ASAP tebal kelihatan di ruang udara Gaza susulan serangan terbaru Israel. FOTO Reusters
Reuters

Washington: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menghentikan penghantaran senjata kepada Israel minggu lalu, sebagai menentang tindakan negara itu menyerang bandar Rafah di Selatan Gaza, kata pegawai pentadbiran kanan, pada Selasa.

Biden cuba untuk mengelak serangan besar-besaran oleh Israel terhadap Rafah, yang dijadikan tempat perlindungan ratusan ribu rakyat Palestin.

Pegawai yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, pemimpin Israel dilihat mencapai keputusan menceroboh Rafah, dan 'kami mula mengkaji dengan teliti cadangan memindahkan senjata tertentu kepada Israel yang mungkin digunakan di Rafah" mulai April.

"Hasil semakan itu, kami menghentikan satu penghantaran senjata minggu lalu membabitkan 1,800 bom seberat 907 kilogram (kg) dan 1,700 bom seberat 227 kg.

"Fokus utama kami adalah menghentikan penggunaan bom seberat 907 kg. Kami belum membuat keputusan muktamad untuk meneruskan penghantaran ini," kata pegawai itu.

Empat sumber berkata penghantaran itu, yang dijangka ditangguhkan sekurang-kurangnya dua minggu, membabitkan senjata serangan langsung buatan Boeing dan bom berdiameter kecil.

Kelewatan itu berlaku ketika Washington secara terbuka menekan Israel untuk menangguhkan serangan yang dirancang dilancarkan ke Rafah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 12:46 PM