BIDEN (tengah) dalam mesyuarat bersama pasukan keselamatan negara di Washington selepas Iran melancar serangan ke atas Israel. FOTO AFP/ Rumah Putih.
BIDEN (tengah) dalam mesyuarat bersama pasukan keselamatan negara di Washington selepas Iran melancar serangan ke atas Israel. FOTO AFP/ Rumah Putih.
AFP

Washington: Amerika Syarikat (AS) memaklumkan tidak akan menyertai sebarang tindakan balas Israel terhadap Iran, dengan Presiden Joe Biden memberi amaran kepada Benjamin Netanyahu supaya 'fikir dengan teliti' berhubung risiko peningkatan ketegangan.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih, John Kirby berkata, Biden tidak mahu perang meluas selepas membantu sekutunya itu menangkis serangan besar-besaran dari Tehran, semalam yang disasar sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas konsulat Iran di Damsyik, April lalu.

"Kami tidak mencari perang yang lebih besar dengan Iran.

"Amerika Syarikat tidak mahu melihat (ketegangan) ini meningkat," katanya pada program 'Meet the Press' NBC, semalam.

Kirby berkata, Netanyahu sedar mengenai keinginan Biden selepas kedua-dua pemimpin itu berbual mengenai serangan Iran yang belum pernah berlaku sebelum ini.

"Bagaimanapun AS tetap berwaspada terhadap sebarang ancaman Iran terhadap tentera Amerika," katanya.

Seorang pegawai kanan pentadbiran Biden turut mengesahkan, Netanyahu sudah diberitahu bahawa Washington tidak akan menawarkan sokongan ketenteraan untuk sebarang serangan balas terhadap Iran.

"Kami tidak akan menjadi sebahagian daripada tindak balas yang mereka (Israel) lakukan," kata pegawai itu ketika dihubungi pemberita.

Dalam serangan semalam, Iran melancarkan lebih 300 dron dan peluru berpandu ke arah Israel, mencederakan 12 orang termasuk kanak-kanak, kata tentera Israel.

Pegawai AS pula memaklumkan pesawat pejuang AS memintas kira-kira 70 dron, manakala kapal perangnya menjatuhkan antara empat dan enam peluru berpandu balistik yang dihala ke negara sekutu itu.

AS$1.35 bilion kos tangkis serangan Iran

Serangan Iran, Israel minta PBB adakan mesyuarat tergempar

Hizbullah sertai Iran, serang Israel

Iran lancar lebih 200 dron, peluru berpandu ke arah Israel

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 10:53 AM