SERANGAN Israel ke atas konsulat Iran di Damsyik, Syria menjadi punca serangan balas Tehran ke Israel bulan lalu.
SERANGAN Israel ke atas konsulat Iran di Damsyik, Syria menjadi punca serangan balas Tehran ke Israel bulan lalu.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Bulan lalu, Iran mencetuskan rasa cemas penduduk dunia apabila mengambil tindakan menyerang Israel.

Berdasarkan laporan sejumlah besar lebih 200 dron pembunuh, peluru berpandu balistik dan peluru berpandu jenis 'cruise missile' dilancarkan ke arah Israel.

Kejadian itu dilaporkan berpunca daripada tindakan Iran yang membalas dendam atas apa yang disebut sebagai 'jenayah April' dalam serangan Israel ke atas konsulat Damsyik.

Bagaimanapun, kebanyakan dron dan peluru berpandu berjaya dipintas sebelum sampai ke wilayah Israel.

Selepas kejadian itu, Israel mengadakan mesyuarat kecemasan bagi membincangkan tindakan yang perlu diambil terhadap Iran.

Maka, beberapa hari selepas itu, Israel mula mengambil langkah menyerang balas dengan melancarkan serangan ke arah Iran.

Menurut laporan media tempatan, Yedioth Ahronoth, Israel menanggung kerugian kira-kira AS$1.35 bilion dalam menangkis serangan dron dan peluru berpandu Iran.

Anggaran kos itu dibuat bekas penasihat kewangan kepada ketua staf tentera Israel, Brig Jen Ram Aminach.

Kos itu hanya membabitkan pintasan terhadap apa yang dilancarkan oleh Iran, bukannya kemusnahan kecil yang dialami dalam serangan itu.

Katanya, satu peluru berpandu Arrow digunakan untuk memintas peluru berpandu balistik Iran bernilai AS$3.5 juta, manakala kos satu peluru berpandu Magic Wand ialah A$1 juta, sebagai tambahan kepada pesawat yang terbabit untuk memintas dron Iran.

Di pihak Israel, nampak gayanya serangan itu bukan saja menyakitkan hati mereka, sebaliknya turut mengoyakkan poket mereka.

Lebih menyakitkan hati, walaupun serangan Iran dapat dipatahkan dengan dron dan peluru berpandu berjaya dipintas sebelum tiba ke wilayah Israel, nampak gayanya ia menjadi medan pemasaran buat produk Iran.

Menurut laporan Defence Security Asia (DSA), serangan yang berjaya dipatahkan itu tidak mengurangkan minat antarabangsa terhadap dron buatan Iran.

Banyak negara yang mempertimbangkan pemerolehan dron ini tidak menghadapi sistem pertahanan udara yang canggih seperti yang dikendalikan oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS), seperti Kubah Besi atau Iron Dome.

Bagi negara-negara ini, dron Iran sangat berkesan terhadap musuh mereka.

Samuel Bendett, pakar dalam kecerdasan buatan (AI) dan sistem tanpa pemandu di sebuah badan pemikir di Washington, menyatakan bahawa kejayaan Israel baru-baru ini dalam menentang serangan dron Iran tidak menghalang penjualan dron Iran.

Negara-negara yang mencari dasar ketenteraan dan politik yang bebas daripada pengaruh AS terus membeli dron Iran.

Penggunaan dron ini dalam konflik di Ukraine dan Timur Tengah telah meningkatkan minat dengan ketara, dengan beberapa negara dilaporkan tidak sabar-sabar untuk memulakan rundingan dengan Tehran.

Data daripada Institut Keamanan di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa selain kumpulan proksi seperti Hizbullah di Iraq dan Syria, Tehran telah mengeksport dronnya ke sekurang-kurangnya tujuh negara lain, termasuk Tajikistan dan Venezuela.

Malah, Reuters turut melaporkan penggunaannya dalam konflik yang berterusan di Sudan.

Sasaran berpotensi untuk eksport dron Iran masa depan termasuk Bolivia dan Belarus, tetapi terdapat juga jangkaan peningkatan penggunaan dron ini di Afrika dan Amerika Selatan, menurut penganalisis.

Katanya, pada masa ini, dron Iran beroperasi di empat benua - Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Selatan.

Beberapa bulan selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, seorang pegawai kanan Iran melaporkan 22 negara telah menunjukkan minat untuk memperoleh dron ini.

Pengguna dron Iran adalah negara yang tidak mempunyai masalah dengan Iran dari segi politik dan juga kekurangan dana untuk memperoleh dron buatan Barat yang lebih mahal.

Baru-baru ini, Kementerian Pertahanan Iran mengumumkan bahawa eksport senjata negara telah meningkat sebanyak 40 peratus dalam tempoh 11 bulan.

Ia bermakna, Iran berjaya meraih sokongan dan perhatian dunia bukan saja kerana isu Palestin malah, berjaya membuktikan kekuatan teknologinya.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 6:30 AM