JET pejuang F-35 milik AS.  FOTO AFP
JET pejuang F-35 milik AS. FOTO AFP
AFP

Washington: Serpihan jet pejuang tercanggih milik Amerika Syarikat (AS) yang hilang selepas juruterbangnya menyelamatkan diri, akhirnya ditemukan, kata tentera AS, semalam.

Serpihan itu ditemukan sehari selepas usaha menjejaki jet bernilai AS$80 juta (kira-kira RM375.4 juta) itu.

Serpihan jet F-35 itu ditemukan di Williamsburg County, Carolina Selatan, dua jam di timur laut Pangkalan Bersama Charleston (JBC), kata jurucakap dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform X.

"Orang ramai harus mengelak kawasan itu kerana pasukan pemulihan membersihkan kawasan serpihan," kata kenyataan itu.

Selepas jet itu hilang di Carolina Selatan pada Ahad, JBC mengeluarkan kenyataan di di media sosial meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenainya untuk tampil memaklumkannya kepada pihak berkuasa.

Laman web penjejak penerbangan menunjukkan carian tertumpu di kawasan hutan dan tanah ladang berhampiran Stuckey, yang terletak di Williamsburg County, kira-kira 120 kilometer (km) dekat utara Charleston, lewat petang Isnin.

Jet F-35 Lightning II, diidamkan oleh sekutu AS di seluruh dunia, terutamanya Ukraine, mempunyai bentuk dan ciri tersendiri yang dapat melindunginya daripada dikesan radar.

Juruterbang itu menyelamatkan diri atas sebab yang tidak diketahui, namun dia disahkan selamat selepas mendarat dengan payung terjun ke kawasan kejiranan Charleston Utara, pada Ahad.

Kehilangan pesawat yang sangat canggih itu mengundang kemusykilan dan tanda tanya dalam talian.

"Macam mana awak kehilangan F-35? Bagaimana tidak ada peranti pengesan dan kami meminta orang ramai untuk apa, cari jet dan serahkannya?" kata Nancy Mace, ahli Kongres yang mewakili kawasan Charleston.

Ada juga individu memuat naik gambar tanda hilang yang dimanipulasi pada pokok, menawarkan ganjaran untuk mencari jet yang hilang.

Satu hantaran menunjukkan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky bergambar di hadapan F-35, mencadangkan bahawa beliau mengambilnya.

Sejak Rusia menyerang negaranya tahun lalu, Zelensky mendesak AS untuk membekalkan jet canggih negara itu bagi memberi kelebihan kepada tenteranya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 10:36 AM