SETIAP tahun, cahaya dipancarkan ke langit New York sebagai memperingati tragedi 9/11. FOTO AFP
SETIAP tahun, cahaya dipancarkan ke langit New York sebagai memperingati tragedi 9/11. FOTO AFP
AFP

New York: Mayat dua individu ditemukan dalam runtuhan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, pada 2001, akhirnya dikenal pasti melalui analisis asid deoksiribonukleik (DNA).

Ia selepas 22 tahun tragedi 11 September yang mengejutkan dunia itu.

Pendedahan itu dibuat oleh pihak berkuasa menjelang ulang tahun tragedi berkenaan.

Identiti mangsa terbabit iaitu seorang lelaki dan wanita, bagaimanapun dirahsiakan atas permintaan keluarga mereka.

Datuk Bandar New York Eric Adams dan Pejabat Ketua Pemeriksa Perubatan (OCME) di bandar itu dalam satu kenyataan pada Jumaat lalu berkata, ini menjadikan identiti 1,649 mangsa sudah dikenal pasti.

Ia daripada 2,753 mangsa yang maut dalam tragedi itu.

"Kami berharap pendedahan baharu ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada keluarga mangsa.

"Usaha berterusan oleh Pejabat Ketua Pemeriksa Perubatan membuktikan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk 'menyatukan' semula semua mangsa dengan individu tersayang," katanya.

Seramai 1,104 mangsa masih belum dikenal pasti dan perkembangannya amat perlahan.

Serangan 11 September itu menyaksikan 19 pengganas - kebanyakannya adalah rakyat Arab Saudi - merampas empat pesawat.

Dua daripada pesawat itu merempuh WTC sehingga menyebabkan dua menara runtuh, manakala pesawat ketiga merempuh Pentagon berhampiran Washington.

Pesawat keempat pula terhempas di kawasan padang di Shanksville, Pennsylvania, selepas penumpang dan kru melawan pengganas.

Secara keseluruhan, serangan itu mengorbankan 2,977 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 12:51 PM