MULA dapat banyak tawaran berlakon filem dan drama.
MULA dapat banyak tawaran berlakon filem dan drama.
Ramlah Zainal


Watak Sharifah Qaidah dalam drama Lelaki Itu yang tamat siarannya, baru-baru ini kembali melonjakkan nama pengacara, pelakon dan penyanyi, Che Puan Sarimah Ibrahim sekali gus 'comeback' buat dirinya selepas 16 tahun berehat dari bidang lakonan.

Menurut pelakon berdarah kacukan Ireland-Melayu ini, dia sendiri tidak menyangka drama bersiri terbitan dan skrip oleh Erma Fatima itu akan tular dan mencetuskan fenomena hingga merekodkan capaian 1.13 bilion dalam media sosial.

"Saya juga mengambil tempoh setahun untuk buat persiapan dari aspek mental dan fizikal termasuk ke gimnasium sebelum memulakan penggambaran drama Lelaki Itu.

"Berbekalkan persediaan rapi, saya bersyukur dapat berikan lakonan yang terbaik dan berkesan sekali gus drama itu juga mendapat sambutan luar biasa," katanya yang kali terakhir berlakon pada 2015.

Mengulas watak Qaidah pula, kata Sarimah, dia terima tawaran Erma kerana tertarik dengan watak berkenaan.

"Selepas baca skrip Lelaki Itu, saya tertarik dengan watak itu dan pada masa sama memang mahu bekerja dengan barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra dan Fazura.

"Watak Qaidah juga mencabar kerana ia membabitkan pelbagai emosi iaitu marah, sedih dan macam-macam lagi apabila dirinya ditipu kawan baik dan suaminya sendiri serta kehidupannya juga hancur," katanya.

AMBIL masa setahun buat persiapan untuk berlakon dalam Lelaki Itu.
AMBIL masa setahun buat persiapan untuk berlakon dalam Lelaki Itu.

Sarimah berkata, pada mulanya dia menyangka dirinya akan dibenci penonton kerana watak antagonis itu.

"Saya berharap Lelaki Itu akan memberi kesedaran kepada ramai wanita untuk ambil tahu dan peka mengenai hak masing-masing dalam rumah tangga.

"Selepas Lelaki Itu, saya juga ada dapat beberapa tawaran berlakon filem dan drama dan nampak ada watak ditawarkan yang sehebat Qaidah," katanya.

Lelaki Itu yang selesai ditayangkan sebanyak 30 episod di Slot Samarinda TV3, pada 29 April lalu.

Selain Sarimah, Adi Putra dan Fazura, drama arahan Along Kamaluddin dan Nur Ain Sharif itu turut dibintangi Nabila Huda, Hannah Delisha, Aedy Ashraf, Nadia Brian, Sophia Albarakbah, Shaharuddin Thamby dan Ameerul Asyraf.

16 tahun berehat dari lakonan.
16 tahun berehat dari lakonan.

Suami restu kembali berlakon

Status sebagai isteri kepada keluarga diraja tidak menghalang Sarimah untuk kembali menyemarakkan industri hiburan tanah air.

Sarimah berkahwin dengan Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, cucunda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-10, Almarhum Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman 2 April 2015.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Tunku Sofia Najihah yang kini berusia lima tahun.

Sarimah berkata, dia kembali berlakon kerana minatnya yang sangat mendalam dalam industri hiburan sejak 1996.

"Sebelum ini, saya menyepikan diri sekejap dalam lakonan kerana fokus pada bidang pengacaraan dan deejay radio serta membina keluarga.

"Selepas anak saya, Sofia sudah besar sikit, baru saya putuskan kembali untuk mengubat rindu pada bidang lakonan.

"Saya juga bertuah kerana suami dan keluarga mentua sangat menyokong minat dan memberi restu untuk saya terbabit dalam bidang hiburan sejak dulu," katanya.

Mengenai pengurusan karier seni pula, kata Sarimah dia kini bernaung di bawah agensi lakonan Fiona Cross Management yang berpangkalan di London.

"Fiona Cross adalah agensi pengurusan bakat yang terbabit dalam industri komersial, teater, filem dan televisyen antarabangsa.

"Karier seni di sini pula diuruskan pengurus Shawn Amer (Mask Team)," katanya.

Dalam perkembangan lain, kata Sarimah, dia juga mengambil kursus lakonan dengan Gerry Grennell dari United Kingdom pada 2022 hingga 2023 sebagai persediaan untuk kembali aktif dalam bidang lakonan.

"Saya harap dapat memberi satu kelainan dari segi lakonan kerana kita kena bergerak mengikut masa dan selera penonton global seperti Netflix dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 7:01 AM