Presiden AS Joe Biden. Foto AFP
Presiden AS Joe Biden. Foto AFP
BERNAMA

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden akan melawat New York, Pennsylvania dan Virginia sempena ulang tahun ke-20 serangan 9/11, menurut kenyataan Rumah Putih.

"Pada Sabtu, 11 September, Presiden dan isteri (Jill Biden) akan mengunjungi ketiga-tiga lokasi serangan 9/11: New York City, New York, Shanksville, Pennsylvania dan Pentagon di Arlington, Virginia untuk memperingati ribuan nyawa yang terkorban dalam tragedi itu, 20 tahun lalu," lapor Sputnik.

Menurut kenyataan itu, Naib Presiden Kamala Harris dan suaminya, Douglas Emhof akan ke Shanksville dalam satu acara berasingan sebelum menyertai Presiden di Pentagon.

Pada Jumaat, Biden menandatangani perintah eksekutif mengarahkan pentadbirannya untuk meneliti beberapa dokumen berkaitan siasatan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) terhadap serangan pengganas 11 September 2001.

Di bawah arahan itu, Jabatan Kehakiman dan agensi Persekutuan lain diminta mengkaji dokumen dan melihat beberapa maklumat yang mungkin boleh dikongsi kepada umum.

Sejak bertahun-tahun sejumlah keluarga mangsa serangan 9/11 mendesak kerajaan mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai tragedi itu.

Pada 11 September 2001, empat pesawat dirampas Al-Qaeda, dua merempuh bangunan World Trade Center (WTC) di New York, manakala sebuah lagi pesawat melanggar bangunan Pentagon berhampiran Washington.

Pesawat keempat terhempas di Pennsylvania.

Berikutan peristiwa itu, AS melancarkan 'Operation Enduring Freedom' dan Presiden George W Bush ketika itu mengumumkan serangan udara yang menyasarkan Al Qaeda dan Taliban.

Taliban menolak untuk mengekstradisi anggota Al Qaeda.

AS akhirnya memutuskan untuk keluar dari Afghanistan dan pasukan tentera AS yang terakhir meninggalkan negara itu adalah pada pagi 31 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 11:40 AM