Usaha mendapatkan DNA diteruskan walaupun tidak menjamin kejayaan. FOTO AFP
Usaha mendapatkan DNA diteruskan walaupun tidak menjamin kejayaan. FOTO AFP
AFP

NEW YORK: Tragedi serangan 11 September 2001 akan terus diingati kerana lebih 1,100 mangsa serangan pesawat yang merempuh bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) belum lagi dapat dikenal pasti.

Menjelang ulang tahun ke-17 esok, satu pasukan yang menggunakan teknologi terkini di sebuah makmal di sini, terus menguji sisa yang diambil di lokasi serangan untuk mengenal pasti identiti mangsa berkenaan dan ini dilakukan setiap hari.

Mulanya, mereka memeriksa serpih tulang yang ditemui di WTC. Ia bertujuan untuk dipadankan dengan DNA. Serpih itu dijadikan serbuk sebelum dicampur dengan dua produk kimia untuk mendapatkan DNA. Bagaimanapun, usaha ini tidak menjamin kejayaan.

“Tulang adalah bahan biologi yang paling sukar untuk diuji,” kata Mark Desir, Penolong Pengarah Biologi Forensik di Pejabat Ketua Pemeriksa Perubatan di New York.

“Tambahan lagi, apabila mengambil kira keadaan di ‘Ground Zero seperti api, kulat, bakteria, cahaya matahari, bahan api pesawat dan minyak diesel, semua itu memusnahkan DNA. Jadi, sampel DNA yang ada terlalu sedikit,” katanya.

Selain itu, 22,000 bahan sisa manusia ditemui di lokasi kejadian telah diuji sejak itu, ada di antaranya sebanyak 10 hingga 15 kali.

Sehingga ini, hanya 1,642 daripada 2,753 orang yang terbunuh dalam serangan di New York telah berjaya dikenal pasti tetapi masih ada 1,111 lagi yang belum dapat dikenal pasti identitinya.

Beberapa tahun sudah berlalu tanpa sebarang kejayaan pengecaman identiti mangsa mendapat hasil tetapi tiada siapa yang berputus asa.

“Semua ini adalah protokol yang kami ikuti sejak 2001 dan kami telah berjaya memperbaiki proses ujian setiap peringkat,” kata Desire yang enggan memberitahu bajet mereka sekadar berkata ia adalah makmal paling lengkap dan termoden di Amerika Utara.

Pada 2001, ketua di pejabat forensik, Charles Hirsch, memahami bahawa faktor masa boleh membantu usaha mengecam mangsa dan mengarahkan semua sisa disimpan.

Pasukan pakar forensik dari seluruh dunia, dari Argentina hingga Afrika Selatan kini datang ke New York untuk belajar proses pengecaman di makmal itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 3:45 PM