KESINAMBUNGAN warna setiap ruang tidak kelihatan canggung.
KESINAMBUNGAN warna setiap ruang tidak kelihatan canggung.
MURNI dapat merealisasikan impian memiliki kediaman ala hotel.
MURNI dapat merealisasikan impian memiliki kediaman ala hotel.
Hafiz Ithnin


"Saya nak apabila masuk sahaja ke dalam rumah, terasa seperti dalam bilik hotel. Keadaannya tenang, kemas dan selesa. Tidak sangka pula, pereka hiasan dalaman yang dilantik mampu merealisasikan impian itu," kata pemilik kediaman teres dua tingkat itu kepada penulis.

Bagi Murni Aminah Mat Rosdi, dia membelanjakan hampir RM200,000 untuk mengubah suai dan mengupah pereka hiasan dalaman kediaman yang dibelinya pada 2018 dan mendapat kunci pada 2021.

Kediaman bersaiz 1,540 kaki persegi terletak di Kajang, Selangor itu juga adalah rumah pertama yang dimiliki Murni dan kini dia bersama suami serta dua anaknya tinggal dalam kediaman berkenaan.

Dia yang juga seorang guru itu berkata, dia mendapat inspirasi mengenai hiasan dalaman ala hotel berkenaan apabila tiba cuti sekolah dia bersama keluarga akan bercuti dan menginap di hotel.

Keadaan di dalam bilik hotel sememangnya menjadi sesuatu perkara yang amat dinantikan mereka sekeluarga kerana mempunyai aura tersendiri.

Jelasnya, sebaik mendapat kunci kediaman pada 2021 dia mula mencari pereka hiasan dalaman untuk merealisasikan impian dekorasi seperti bilik hotel.

"Sebenarnya saya sudah lama mempunyai impian keadaan rumah seperti ini. Jujurnya saya tidak tahu mengenai jenis konsep sama ada moden, minimalis atau muji yang sememangnya menjadi pilihan ramai pemilik kediaman.

"Saya hanya maklumkan kepada pereka hiasan dalaman, saya inginkan dekorasi seperti sebuah bilik hotel iaitu mempunyai elemen ketenangan, kemas dan tidak banyak perabot," katanya.

Menceritakan mengenai langkah mencari pereka hiasan dalaman, katanya, dia bertemu bukan satu tetapi beberapa orang pereka hiasan dalaman profesional tetapi akhirnya memilih A&R Creative Design.

"Sebelum saya berjumpa dengan pereka hiasan dalaman ini, ada antaranya yang mempunyai pelbagai latar belakang projek menarik. Tapi saya dapati kebanyakannya tidak menekankan elemen kesinambungan di dalam hiasan.

"Bagi saya kesinambungan adalah perkara yang utama. Ia kerana, saya tidak mahu apabila berada di ruang tamu warna atau temanya mempunyai perbezaan begitu ketara dengan ruang yang lain," katanya.

Selain itu, dia mengambil sikap berhati-hati di dalam pemilihan pereka hiasan dalaman kerana tugas mendekorasi ruang memainkan peranan penting selain membabitkan kos bayaran yang agak tinggi.

"Apabila kita mengupah pereka hiasan dalaman rumah profesional ini, mereka akan menyediakan segala kelengkapan kediaman. Dalam kata lain kita masuk di dalam rumah hanya membawa pakaian sahaja.

"Jadi, tanggungjawab pereka hiasan dalaman ini amat penting bagi memastikan keadaan di dalam rumah itu menepati dengan cita rasa kita sebagai pemilik kediaman.

MURNI menerapkan sikap berhati-hati dalam pemilihan pereka hiasan dalaman.
MURNI menerapkan sikap berhati-hati dalam pemilihan pereka hiasan dalaman.

KONSEP yang diketengahkan mempunyai elemen ketenangan.
KONSEP yang diketengahkan mempunyai elemen ketenangan.

BILIK tidur anak mempunyai elemen kanak-kanak.
BILIK tidur anak mempunyai elemen kanak-kanak.

"Apatah lagi kediaman dihuni pada jangka masa yang lama dan tidak memerlukan perubahan yang begitu banyak jika berlaku kekurangan ketika proses menata rias," katanya.

Tambahnya, meskipun melantik pereka hiasan dalaman dan membabitkan kos tetapi dia merasa puas kerana hasil serta kualiti yang ditunjukkan selepas siap menepati impiannya.

"Bagi saya mengupah pereka hiasan dalaman ini memudahkan kerana kadang-kala kita membayangkan sesuatu yang indah apabila merujuk kepada sesuatu platform seperti di media sosial. Namun, hasilnya tidak seperti yang diinginkan.

"Disebabkan itu, bagi saya menggunakan khidmat pereka hiasan dalam amat membantu untuk memudahkan pemilik kediaman tanpa perlu memikirkan perkara yang kompleks. Namun, sebagai pemilik kita perlu sentiasa memantau," katanya.

Menurutnya, untuk kediamannya itu pereka hiasan dalaman banyak menggunakan rona semula jadi bagi menghidupkan aura hotel selain mengurangkan reka letak perabot.

"Warna alam yang lembut seperti rona krim diketengahkan kerana ia mampu menjadikan sesuatu ruang itu tampak kemas. Tambahan pula, jika melihat kepada hotel juga kebanyakannya tidak menggunakan warna-warna yang garang.

"Selain itu, dengan menggunakan lampu siling berona jingga yang lembut menjadikan ruang di dalam kediaman ini tampak luas dan mewah," katanya.

Murni berkata, pereka hiasan dalaman turut menggunakan perabot yang moden dan mempunyai fungsi serta warna perabot juga seakan-akan dengan rona dinding di setiap ruang.

"Paling menarik perhatian saya ialah kesinambungan warna setiap ruang dari ruang utama sehingga ke empat bilik tidur kami tidak kelihatan canggung selain mempunyai keunikan masing-masing. Misalnya, di dalam bilik anak biarpun ada elemen kanak-kanak namun warna yang digunakan masih seakan sama dengan ruang yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 7:01 AM