Foto hiasan
Foto hiasan
Agensi

Washington: Presiden Joe Biden pada semalam menandatangani perintah eksekutif mengarahkan pentadbirannya untuk meneliti beberapa dokumen berkaitan siasatan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) terhadap serangan pengganas pada 11 September 2001.

Di bawah arahan itu, Jabatan Kehakiman dan agensi persekutuan lain diminta mengkaji dokumen dan melihat beberapa maklumat yang mungkin boleh dikongsi kepada umum, dalam tempoh enam bulan, lapor Agensi Berita Xinhua.

"Kita tidak boleh melupakan penderitaan keluarga yang kehilangan orang tersayang, 2,977 orang menjadi mangsa akibat serangan pengganas terhadap Amerika, terburuk dalam sejarah negara kita," kata Biden dalam satu kenyataan.

Ketua Jawatankuasa Perisikan Adam Schiff berkata, pihaknya akan memantau bagi memastikan semua agensi mematuhi arahan presiden untuk menerapkan tahap ketelusan maksimum yang dibenarkan undang-undang ketika melakukan kajian terbabit.

Sejak bertahun-tahun sejumlah keluarga mangsa serangan 9/11 mendesak kerajaan mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai tragedi itu kepada umum.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 12:03 PM