ORANG ramai diseliputi debu akibat runtuhan menara WTC berjalan di Fulton Street pada 11 September 2001 (atas) dan gambar kanan, lokasi yang sama dirakam pada 11 September 2019. - Daily Mail
ORANG ramai diseliputi debu akibat runtuhan menara WTC berjalan di Fulton Street pada 11 September 2001 (atas) dan gambar kanan, lokasi yang sama dirakam pada 11 September 2019. - Daily Mail
Agensi

NEW YORK: Lapan belas tahun lalu, hampir 3,000 terbunuh dalam kejadian 11 September 2001 yang mengubah politik dunia selepas 19 orang merampas empat pesawat penumpang Amerika Syarikat dengan dua merempuh bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Pesawat ketiga, Penerbangan 77 American Airlines, merempuh Pentagon menyebabkan 184 terbunuh manakala pesawat keempat, Penerbangan 93 United Airlines, terhempas di sebuah padang di Shanksville, Pennsylvania, membunuh 40 orang.

Menurut Daily Mail, seramai 2,977 terbunuh di New York, Washington DC dan di Shanksville, Pennsylvania, dalam serangan yang didakwa Amerika dilakukan al Qaeda pimpinan Osama bin Laden.

Di WTC, Lower Manhattan, 2,753 terbunuh apabila pesawat Penerbangan 11 American Airlines Flight 11 dan Penerbangan 175 United Airlines merempuh menara utara dan selatan. Menara berkembar WTC runtuh 102 minit selepas serangan.

CNN melaporkan, mereka yang maut dalam serangan di WTC menyebabkan dua menara itu runtuh, 343 orang adalah anggota bomba New York, 23 anggota polis dan 37 kakitangan Pihak Berkuasa Pelabuhan.

Mangsa berusia antara dua hingga 85 tahun dengan 80 peratus adalah lelaki.

Sehingga Julai 2019, mayat 1,644 daripada 2,753 mangsa WTC sudah dikenal pasti.

Selain mereka yang terbunuh, ribuan lagi, termasuk anggota penyelamat, pekerja pembinaan dan penduduk menghidap pelbagai penyakit akibat terhidu debu toksik yang menyelubungi Lower Manhattan.

Tragedi itu mengubah politik dunia apabila Amerika menyerang Afghanistan bagi menghapuskan al-Qaeda. Sehingga kini 14,000 tentera Amerika masih berada di negara itu dengan jumlah teramai 100,000 anggota pada 2010.

Banyak negara mengubah atau memperkukuh undang-undang anti-pengganas dan pandangan dunia terhadap Islam juga berubah dengan ramai dianggap pengganas mewujudkan Islamophobia.

Kerja membersihkan WTC siap pada Mei 2002, mengambil masa 3.1 juta jam bagi membersihkan 1.8 juta tan serpihan dengan kos AS$750 juta (RM3.1 bilion)

Pada 18 November 2006, pembinaan One World Trade Center bermula di tapak WTC dan bangunan itu dibuka pada 3 November 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 7:10 AM