Tan Sri Abdul Hamid Bador
Tan Sri Abdul Hamid Bador
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Penemuan pelbagai senjata api berat yang jumlahnya dikatakan mampu memenuhi suku lori tiga tan di dua lokasi berasingan di sungai dekat Tampoi, Johor baru-baru ini, adalah senjata 'airsoft' yang menyerupai senjata sebenar.

Menjelaskan demikian, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan dikendalikan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor setakat ini mendapati hanya satu senjata api sebenar yang dikenalpasti setakat ini.

Bagaimanapun ketika diminta memperincikannya termasuk adakah membabitkan motif penyeludupan senjata api oleh sindiket tertentu yang mengancam keselamatan negara, beliau berkata Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay akan mengadakan sidang media mengenainya.

"Saya dah semak. Datuk Ayob (Ketua Polis Johor) akan berikan sidang media. Dalam banyak-banyak senjata yang dijumpai, hanya satu senjata betul. Lain-lain senjata adalah airsoft," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muka depan Metro Ahad hari ini bertajuk Pancing Senjata Api, dipetik melaporkan anggota polis menggunakan peralatan pancing magnet bagi 'mengail' pelbagai senjata api berat yang dibuang sekumpulan suspek ke dasar sungai berhampiran Tampoi, Johor.

Sumber berkata, arus deras menyebabkan anggota penyelam pasukan Polis Marin sukar mengesan kedudukan pelbagai senjata api dan peluru yang sengaja dibuang suspek sebelum ini.

Kata sumber itu, inisiatif dilakukan itu berjaya mengeluarkan sepucuk pistol Steyr selain enam tin peluru senapang angin berada di dasar sungai.

"Berdasarkan maklumat awal, 16 pekerja sebuah kilang terbabit dalam tugas membuang senjata api seludup itu ke dua lokasi berlainan sebelum ini.

"Suspek yang disoal mendakwa pernah membuang sejumlah besar senapang angin, pistol dan komponen senjata yang terlerai serta puluhan kotak peluru.

"Jumlah sebenar senjata api dibuang tidak dapat dipastikan namun ia didakwa boleh memuatkan suku lori seberat tiga tan," katanya memetik laporan Metro Ahad, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 4:47 PM