KEADAAN tempat letak kereta yang runtuh di Manhattan berhampiran Universiti Pace dan Bursa Saham New York, semalam. FOTO Reuters.
KEADAAN tempat letak kereta yang runtuh di Manhattan berhampiran Universiti Pace dan Bursa Saham New York, semalam. FOTO Reuters.
Reuters

New York: Sekurang-kurangnya seorang pekerja maut dan lima lagi cedera selepas sebuah kemudahan tempat letak kereta empat tingkat runtuh di Manhattan berhampiran Universiti Pace dan Bursa Saham New York, semalam.

Kakitangan kecemasan menggunakan peranti robotik selepas anggota bomba terpaksa dikeluarkan daripada struktur yang tumbang kerana keadaan tidak stabil ketika memeriksa tapak bagi mencari mangsa.

Siasatan setakat ini menunjukkan tragedi itu tidak mempunyai unsur khianat.

Pesuruhjaya Polis Keechant Sewell berkata, pihaknya tidak mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa terdapat unsur lain selain daripada runtuh akibat kelemahan struktur.

Ketua operasi Jabatan Bomba New York, John Esposito berkata, seorang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan empat orang lagi dibawa ke hospital kerana mengalami kecederaan, manakala individu keenam yang cedera menolak untuk diberikan rawatan.

Beliau berkata keenam-enam mangsa adalah pekerja yang berada di dalam struktur tempat letak kereta ketika ia runtuh.

"Keadaan sangat berbahaya bagi anggota bomba kami," katanya pada taklimat berita lewat petang.

Esposito berkata, anggota bomba yang diarahkan keluar dari struktur itu masih berada di lokasi bagi melakukan pencarian, sebelum peranti robot digunakan untuk meneruskan operasi.

Katanya, ini pertama kali anggota bomba menerbangkan dron ke dalam bangunan yang runtuh untuk membantu pencarian.

Pihak berkuasa memaklumkan penuntut dan kakitangan Pace University yang menggunakan kemudahan itu telah dipindahkan ke kawasan selamat.

"Bangunan ini tidak selamat," kata Datuk Bandar New York Eric Adams.

Rekod dalam talian Jabatan Bangunan New York City menunjukkan bahawa struktur di tapak runtuhan itu mempunyai 45 pelanggaran peraturan termasuk 25 sejak 2003, kebanyakannya berkaitan lif.

Salah satu notis kesalahan pada 2003 menyatakan "wujud keretakan struktur siling" serta "konkrit yang rosak dengan retakan belakang terdedah" dengan penalti $800 dinyatakan sudah dibayar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 10:59 AM