Reuters

New York: Pihak berkuasa Amerika Syarikat giat memburu suspek lelaki yang memakai pelitup muka gas yang melepaskan bom asap dan tembakan rambang di kereta api bawah tanah New York, pagi semalam.

Serangan berlaku ketika kereta api bawah tanah itu menghala ke Manhattan di laluan N sedang berhenti ke stesen di kejiranan Sunset Park, Brooklyn, membuatkan pihak penguat kuasa undang-undang tempatan dan persekutuan melakukan pemburuan besar-besaran.

Pihak berkuasa mengesahkan, sekurang-kurangnya 17 individu cedera iaitu 10 mangsa terkena tembakan secara langsung, termasuk lima dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal, namun stabil, manakala tujuh yang lain cedera terkena serpihan atau cedera dalam keadaan huru-hara kejadian itu.

Sementara itu, sebahagiannya rebah di kaki lima ketika mereka berpusu-pusu ke platform stesen 36th Street.

Jabatan bomba berkata, dua daripada mereka yang cedera dirawat di tempat kejadian.

Pesuruhjaya NYPD Keechant Sewell berkata, kejadian itu tidak disiasat sebagai tindakan keganasan, walaupun pihak berkuasa tidak menolak apa-apa sebagai motif.

POLIS memperketat kawalan keselamatan di stesen kereta api bawah tanah susulan insiden di sebuah stesen di Brooklyn. FOTO Reuters
POLIS memperketat kawalan keselamatan di stesen kereta api bawah tanah susulan insiden di sebuah stesen di Brooklyn. FOTO Reuters

"Suspek dilihat memakai pelitup muka gas di dalam kereta api ketika hendak memasuki stesen, kemudian mengeluarkan sebuah kanister dari begnya dan membukanya.

"Kereta api pada masa itu mula dipenuhi asap. Dia kemudian melepaskan tembakan, menyerang beberapa orang di dalam kereta api bawah tanah dan di platform," katanya.

John Butsikares, 15, yang melalui stesen 36th Street sejurus selepas kejadian itu berkata, konduktor kereta api mengarahkan semua orang di platform stesen itu untuk naik.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku. Ia saat yang menakutkan. Dan kemudian di 25th Street (stesen seterusnya) kami semua diberitahu untuk turun.

"Ada orang menjerit meminta bantuan perubatan," katanya yang menaiki kenderaan itu ke sekolah.

Datuk Bandar Eric Adams berikrar meningkatkan keselamatan kereta api bawah tanah dengan meningkatkan rondaan polis dan meluaskan jangkauan untuk pesakit mental.

Adams turut mengesahkan laporan media tentang beberapa bentuk kerosakan dalam sistem kamera keselamatan stesen itu, yang boleh menghalang siasatan, namun jumlah yang terjejas tidak dapat disahkan.

Bagaimanapun, penyiasat memperoleh video telefon bimbit daripada saksi yang menunjukkan suspek, kata sumber penguat kuasa undang-undang kepada CNN.

Rumah Putih berkata, Presiden Joe Biden diberi taklimat mengenai insiden itu dan bantuan ditawarkan kepada pegawai tempatan untuk merungkai kes dan menahan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 9:38 AM