ASHLEY Esposito dijangka bersalin Julai ini. FOTO AFP
ASHLEY Esposito dijangka bersalin Julai ini. FOTO AFP
AFP

Washington: Seperti kebanyakan bakal ibu lain, Gina Conley merasai gugup untuk melahirkan cahaya mata ketika penularan pandemik Covid-19.

Justeru, wanita berusia 32 tahun dari North Carolina itu memilih untuk melahirkan bayi di rumah.

“Saya tidak perlu pergi ke hospital di mana terdapat banyak orang sakit dan kakitangan yang terdedah kepada koronavirus,” katanya.

Pandemik Covid-19 menyebabkan banyak negara melaksanakan perintah berkurung, dan perniagaan, institusi pendidikan, sekolah terpaksa ditutup.

Di Amerika Syarikat, kes Covid-19 mencatatkan kira-kira 400,000 jangkitan dan 12,000 kematian.

Hospital menjadi medan perang dalam memerangi peperangan menentang wabak itu menyebabkan bakal ibu tidak mempunyai pilihan melainkan melahirkan bayi mereka di rumah.

Ketakutan terhadap jangkitan, kekurangan kakitangan dan ubat-ubatan dan peraturan yang semakin ketat pada pelawat menyebabkan lebih ramai wanita menimbangkan untuk melahirkan bayi di rumah.

Conley yang mengandung tujuh bulan berkata, dia akan membayar lebih daripada AS$4,000 (RM17,376) untuk mendapatkan perkhidmatan bersalin di rumah.

“Ia pasti tidak murah tetapi mempunyai pengalaman kelahiran yang kami mahukan, dengan banyak kerisauan, ini lebih berbaloi,” kata jurulatih kecergasan itu.

Ashley Esposito, seorang pakar data berusia 35 tahun dari bandar pelabuhan Pantai Timur di Baltimore, menjangka akan mengeluarkan sehingga AS$8,000 (RM34,752).

“(Kami) terpaksa membayar walaupun keadaan kewangan tidak menentu,” kata Esposito kepada AFP.

Esposito berkata, dia turut menandatangani petisyen bersama 1,300 lagi menggesa syarikat insurans kesihatan di Maryland menyediakan liputan yang lebih baik mengenai kelahiran di rumah.

Seperti ibu lain, dia bimbang beberapa hospital mengehadkan bilangan individu yang boleh berada dalam bilik ketika proses kelahiran.

“Ini adalah bayi pertama kami, dan pastinya saya tidak mahu suami melepaskan peluang,” kata Esposito, yang menggunakan kaedah persenyawaan in-vitro selepas dua kali keguguran.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 12:12 PM