ROGER Ng. FOTO Reuters
ROGER Ng. FOTO Reuters
Reuters

New York: Bekas jurubank Goldman Sachs, Roger Ng, yang bersalah kerana membantu merompak dana kekayaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyaman saksi penting kerajaan Amerika Syarikat, Tim Leissner lebih AS$130 juta (kira-kira RM611 juta), kerana didakwa melakukan penipuan.

Dalam aduan yang difailkan di mahkamah New York di Manhattan, Ng menuduh bekas majikannya itu berulang kali berbohong untuk mencuri pelaburan dalam penghasilan minuman tenaga Celsius Holdings (CELH.O) dan syarikat kecerdasan buatan, Sentient Technologies.

Menurut pemfailan itu, Leissner, bekas rakan kongsi di Goldman, mencuri wang Ng untuk menampung kos guaman dalam kes jenayah berkaitan di mana dia mengaku bersalah pada 2018, sambil menafikan wang bagi Ng membela diri dan merayu sabitan kesalahannya.

"Ng berada dalam kedudukan yang tidak dapat dibayangkan untuk mempertahankan dirinya terhadap dakwaan dibuat oleh orang yang menipunya dan mencuri wang yang diperlukan Ng untuk membela diri berhubung dakwaan sama," kata aduan itu.

Peguam Leissner tidak segera menjawab permintaan untuk komen.

Ng, bekas ketua perbankan pelaburan untuk Goldman Sachs Malaysia berkata, kecurian Leissner termasuk pegangan di Celsius AS$1.25 juta (RM5.9 juta) yang kini bernilai lebih AS$130 juta, ditambah AS$1 juta (RM4.7 juta) bertujuan untuk membeli separuh kepentingan Leissner dalam Sentient.

Dia berkata, sehingga Mei 2021, apabila Leissner dan isterinya, model dan usahawan Kimora Lee Simmons disaman oleh bekas suami Simmons, eksekutif rekod Russell Simmons, barulah dia mengetahui Leissner mengalihkan pelaburan Celsius.

Pada Oktober 2020, Goldman bersetuju untuk membayar AS$2.9 bilion (RM13.6 bilion) dan unit Malaysianya mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah, untuk menyelesaikan siasatan terhadap rompakan berbilion dolar daripada 1MDB dan pembayaran rasuah.

Juri persekutuan di Brooklyn mensabitkan Ng pada April kerana bersubahat untuk melanggar undang-undang antirasuah dan melakukan pengubahan wang haram.

Ng berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun.

Dia dan Leissner dijadualkan dijatuhkan hukuman pada pertengahan Februari.

Jho Low, seorang pembiaya Malaysia dan disyaki dalang rompakan itu, turut didakwa di mahkamah di Brooklyn, namun masih bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 9:47 AM