FOTO tular menunjukkan pekerja yang memakai topeng menjerit ke arah kanak-kanak berkenaan.
FOTO tular menunjukkan pekerja yang memakai topeng menjerit ke arah kanak-kanak berkenaan.
Agensi

Washington: Empat pekerja di sebuah pusat jagaan di Amerika Syarikat, didakwa atas tuduhan penderaan kanak-kanak selepas video mereka menakut-nakutkan budak dengan topeng Scream menjadi tular.

Sierra McCandless, Oci-Anna Kilburn, Jennifer Newman dan Misty Shyenne Mills masing-masing didakwa dengan tiga pertuduhan penderaan kanak-kanak jenayah oleh Pejabat Syerif Kaunti Monroe.

Portal Metro UK melaporkan, empat wanita itu bekerja di Pusat Jagaan dan Pembelajaran Kanak-Kanak Lil' Blessings di Hamilton, Mississippi.

Pekerja kelima, Traci Hutson juga didakwa kerana gagal melaporkan penderaan dan serangan terhadap kanak-kanak bawah umur, kedua-duanya kesalahan salah laku.

Dalam video itu, seorang dewasa boleh dilihat menjerit ke arah kanak-kanak yang ketakutan.

Seorang kanak-kanak boleh dilihat seperti menutup matanya ketika pekerja itu menjerit.

"Hukuman ini digunakan terhadap kanak-kanak yang tidak berkelakuan baik," kata pekerja dalam video itu.

Empat kakitangan itu dipecat serta-merta selepas video itu dikeluarkan, kata pemilik Lil' Blessings pada awal Oktober.

"Nampaknya mereka menggunakan topeng untuk pengubahsuaian tingkah laku," Syerif Kaunti Monroe Kevin Crook memberitahu Monroe Journal.

"Mereka tidak boleh menggunakan hukuman dera, jadi kami fikir mereka menggunakan topeng itu untuk cuba menakutkan kanak-kanak supaya melakukan apa yang sepatutnya mereka lakukan," katanya.

Kesemua suspek ditahan di Penjara Kaunti Monroe, kata jabatan syerif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 3:38 PM