JENKINS
JENKINS
Agensi

MADISON (Amerika Syarikat): Tindakan seorang lelaki berjalan sejauh 564 kilometer untuk melakukan hubungan seks dengan gadis bawah umur hanya sia-sia apabila dia ditahan timbalan syerif Daerah Winnebago, Wisconsin yang menyamar sebagai mangsa.

Daily Mail melaporkan, lelaki terbabit, Tommy Lee Jenkins, 32, berjalan hingga ke Milwaukee pada Khamis lalu sebelum seseorang tidak dikenali membelikannya tiket bas untuk bertemu mangsa dikenali sebagai ‘Kylee’ di Neenah.

Dia tidak menyedari bahawa dia sebenarnya diumpan pihak berkuasa apabila ditahan sebaik saja tiba di Winnebago.

Timbalan syerif terbabit ditugaskan melakukan operasi menerusi Pasukan Khas Kanak-kanak terhadap Jenayah Internet dengan kerjasama polis tempatan dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Menerusi kenyataan media Jabatan Kehakiman, Jenkins mula menghubungi ‘Kylee’ yang tinggal di Neenah menerusi sistem pesanan ringkas sambil meminta gambar lucah dan ingin mengadakan hubungan intim dengannya.

Dia cuba memujuk mangsa datang ke rumahnya di Whitetown, Indiana namun gagal lalu mengambil tindakan nekad berjalan kaki ke rumah ‘Kylee.’

Oshkosh Northwestern melaporkan, dia turut membuat pengakuan kepada mangsanya itu bahawa dia ingin mencari 500 gadis bawah umur untuk melakukan perbuatan jijik terbabit dalam tempoh setahun.

Lelaki terbabit kini didakwa atas tuduhan cuba memujuk kanak-kanak bawah umur untuk melakukan hubungan seks yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.

Sebelum ini, media melaporkan dia pernah ditahan pada 2011 di daerah sama atas dua tuduhan melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak yang kemudiannya dipinda kepada empat tuduhan penderaan kanak-kanak.

“Kita berdepan epidemik penderaan seksual terhadap kanak-kanak dan Internet menyebabkan ia lebih mudah untuk pemangsa berkomunikasi dengan kanak-kanak di seluruh negara,” kata Pendakwa Raya Negeri, Matthew D Krueger.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 5:00 AM