ANTARA kesan gempa bumi berkenaan. FOTO EPA
ANTARA kesan gempa bumi berkenaan. FOTO EPA
AFP

Mexico City: Gempa bumi bermagnitud 7.1 melanda bandar peranginan Acapulco di Mexico.

Ia menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut dan menggegarkan bangunan di ibu kota yang terletak beberapa ratus kilometer jauhnya.

Pusat gempa berada 11 kilometer dari tenggara Acapulco, Guerrero, lapor Pusat Seismologikal Kebangsaan.

Seorang lelaki terbunuh ketika tiang utiliti jatuh ke atasnya di bandar berdekatan Coyuca de Benitez, kata Gabenor Guerrero, Hector Astudillo kepada Milenio TV.

Presiden Andres Manuel Lopez Obrador mengatakan dalam mesej video tidak ada laporan mengenai kerosakan besar.

Pelancong diarah mengosongkan hotel, susulan gempa kuat itu.

"Saya mandi dan tiba-tiba saya merasakan gegaran yang kuat dan dan menjerit," kata seorang pelancong dari Mexico City yang melarikan diri dari hotel dengan hanya bertuala.

"Saya datang dengan ibu saya dan kami berada di tingkat 11 hotel," katanya sambil memeluk ibunya yang berusia 86 tahun sambil menangis.

Datuk Bandar Acapulco, Adela Roman mengatakan gegaran itu mencetuskan huru-hara di bandar.

"Orang ramai risau kerana terdapat gempa susulan," katanya.

Dia mengatakan 'banyak kebocoran gas' dikesan di kawasan perumahan.

Gempa kuat di beberapa bahagian di Mexico City menyebabkan penduduk dan pelancong melarikan diri dari rumah dan hotel ke jalan besar.

"Saya sangat takut. Saya tidak tahu adakah saya akan tidur malam ini.

"Saya bimbang dengan anak perempuan, saya mengejutkannya untuk membawanya keluar dengan tidak memakai kasut," kata seorang penduduk Laura Villa berusia 49 tahun itu.

Tidak ada laporan mengenai kerosakan serius di ibu kota, kata Datuk Bandar Mexico City, Claudia Sheinbaum di Twitter.

Pada 19 September 1985, gempa bumi bermagnitud 8.1 di Mexico City mengorbankan lebih 10,000 orang dan memusnahkan ratusAN bangunan.

Pada ulang tahun gempa bumi itu pada 2017, gempa bermagnitud 7.1 mengorbankan sekitar 370 orang terutama di ibu negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 1:25 PM