WANITA mengemaskan restoran selepas gempa bumi kuat melanda Fukushima. FOTO EPA/JIJI Press
WANITA mengemaskan restoran selepas gempa bumi kuat melanda Fukushima. FOTO EPA/JIJI Press
Agensi

Tokyo: Gempa bumi kuat berukuran 7.1 skala Richter melanda timur laut Jepun, semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 100 tercedera dan bandar bergelap, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gegaran pada 11.07 malam waktu tempatan itu paling kuat dirasai di Fukushima dan Miyagi sejak 7 April 2011, menyebabkan sebahagian penduduk berpindah ke tempat tinggi terutama mereka yang tinggal berdekatan pesisir pantai.

Ramai dalam kalangan penduduk mereka memilih berpindah ke Ishinomaki kerana bimbang kemungkinan berlakunya tsunami walaupun Agensi Meteorologi Jepun mengesahkan tiada ancaman itu.

"Walaupun orang mengatakan kami tidak perlu risau berlaku tsunami, saya tidak akan percaya.

"Saya ambil iktibar daripada pengalaman pahit 10 tahun lalu dan sebab itu saya berpindah," kata seorang penduduk lelaki berusia 50-an seperti dilapor Japan Today.

Warga emas menetap di Shiogama, Miyagi iaitu Mariko Yoshida, 76, berkata, gegaran dirasainya sebaik dia mahu tidur.

"Saya takut ada gempa susulan. Saya tinggal seorang diri dan tak tahu apa harus saya buat," katanya.

Ketakutan sama turut dialami pekerja motel di Minamisoma, Fukushima iaitu Tomoko Kobayashi, 68, yang memberitahu gegaran itu paling kuat yang pernah dirasainya, berbanding gempa bumi pada 2011.

"Sampai saya terfikir bilakah gegaran akan berakhir," katanya.

Susulan gempa terkini itu, kerajaan Jepun menubuhkan pasukan khas dan Perdana Menteri Yoshihide Suga memberitahu media pada awal pagi hari ini, bahawa tiada kematian dilaporkan.

Sebanyak 64 pusat pemindahan kini dibuka di Fukushima dan 200 orang berlindung, menurut pihak berkuasa tempatan.

Dalam pada itu, jurucakap kanan kerajaan, Katsunobu Kato pada sidang media memberi amaran gempa susulan sehingga 6 skala Ritcher boleh berlaku antara tujuh hari akan datang.

Beliau juga memaklumkan sejumlah 950,000 rumah mengalami gangguan elektrik selepas loji janakuasa tidak berfungsi, selain kebakaran dilapor berlaku di wilayah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 1:26 PM