TRUMP (kiri), bersama isterinya, Melania dan anak mereka, Barron. FOTO AFP
TRUMP (kiri), bersama isterinya, Melania dan anak mereka, Barron. FOTO AFP
Agensi

Washington: Seorang lelaki di Pennsylvania berdepan tuduhan kerana menyamar sebagai ahli keluarga bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menipu penyokong untuk meraih lebih ribuan dolar, kata Pendakwa Persekutuan pada Selasa.

Joshua Hall, 22, yang bekerja sebagai penghantar makanan berasal dari Mechanicsburg itu didakwa menipu 100,000 penyokong untuk menerima sumbangan dana parti politik.

Lelaki itu juga menyamar sebagai anak lelaki Trump, Barron yang berusia 15 tahun untuk mendapatkan sokongan.

"Josh seorang yang begitu patriotik dan dia melakukan sesuatu yang begitu berharga kepada negara," tulis lelaki itu yang menyamar sebagai anak lelaki Trump pada Ogos tahun lalu.

Ia berdasarkan aduan lima muka surat yang didedahkan Mahkamah Daerah di Manhanttan pada Selasa.

Pendakwa Persekutuan berkata, Hall menjalankan penipuan itu sejak September 2019 hingga Disember lalu dan meraih 'ribuan dolar' daripada penyokong Trump.

"Hall berjaya meyakinkan ribuan orang yang menderma kepada organisasi tidak wujud dan menyamar sebagai seseorang," kata Penolong Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) William Sweeney dalam kenyataan.

Katanya, FBI sedang giat menjalankan siasatan mengesan penipuan umum dan masyarakat dinasihatkan supaya lebih berwaspada dengan penipuan dalam talian sekiranya mahu menderma.

Pendakwa raya berkata, Hall turut mencipta beberapa akaun media sosial menggunakan nama dan gambar ahli keluarga Trump.

Pada Julai, dia bersalah kerana melancarkan laman web yang mendakwa untuk mendapatkan dana bagi menganjurkan pelbagai program dan cenderamata.

Lelaki itu juga dikatakan menyalahgunakan wang yang didermakan orang ramai untuk kegunaan sendiri.

Dia berdepan tuduhan menipu dan mungkin dikenakan hukuman 22 tahun penjara jika didapati bersalah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 6:30 AM