DONALD Trump (kanan) dan Michael Cohen. FOTO AFP
DONALD Trump (kanan) dan Michael Cohen. FOTO AFP
Agensi

Washington: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyaman bekas peguamnya sebanyak AS$500 juta (kira-kira RM2.2 bilion) kerana melanggar kontrak.

Trump berkata, Michael Cohen melanggar kontrak tugasnya sebagai peguam untuk bertindak demi kepentingan terbaik anak guamnya.

Tuntutan itu dibuat di tengah-tengah serangan yang semakin meningkat daripada sekutu Trump ke atas Cohen yang menjadi saksi penting dalam siasatan New York terhadap bekas presiden itu.

Jurucakap dan peguam Cohen, Lanny Davis memberitahu BBC, dia yakin tuntutan mahkamah terhadap anak guamnya akan gagal.

Katanya, Trump nampaknya sekali lagi menggunakan dan menyalahgunakan sistem kehakiman sebagai satu bentuk gangguan dan ugutan terhadap anak guamnya.

Tindakan undang-undang difailkan di mahkamah persekutuan Florida itu juga menuduh Cohen membuat kenyataan tidak wajar kerana mementingkan diri sendiri dan berniat jahat mengenai bekas anak guam, ahli keluarga Trump dan perniagaannya.

Cohen bekerja sebagai peguam Trump selama lebih sedekad.

Beliau juga adalah Naib Presiden di Pertubuhan Trump, namun kedua-duanya mengalami pergaduhan besar selepas pilihan raya 2016 kerana penyiasat mula menyiasat beberapa pembantu Trump.

Pada 2018, Cohen dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda selepas mengaku bersalah atas tuduhan penipuan dan pelanggaran kewangan kempen.

Kini selepas keluar dari penjara, Cohen menjadi pengkritik utama Trump dan kerap menjadi tetamu dalam program berita.

Pendakwa raya New York sebelum ini mendakwa Trump dengan 34 pertuduhan jenayah memalsukan rekod perniagaan untuk 'melindungi' bayaran.

Pembayaran itu bertujuan untuk memastikan bintang lucah, Stormy Daniels menutup mulut mengenai hubungan sulitnya dengan Trump.

Pada 4 April lalu, Trump hadir di mahkamah jenayah Manhattan, sekali gus menjadi bekas presiden AS pertama yang pernah didakwa atas tuduhan jenayah.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 11:02 AM