MEDIA berkumpul di hadapan Mahkamah Manhattan. FOTO REUTERS
MEDIA berkumpul di hadapan Mahkamah Manhattan. FOTO REUTERS
AFP

New York: Donald Trump akan membuat penampilan 'bersejarah' di hadapan hakim New York pada hari Selasa untuk menjawab tuduhan jenayah yang akan dikenakan terhadapnya.

Trump adalah bekas presiden Amerika Syarikat pertama yang didakwa atas kesalahan jenayah - satu perkembangan bersejarah buat politik Amerika Syarikat.

Di tengah-tengah kawalan keselamatan yang ketat di Manhattan - dan kegilaan media global - lelaki berusia 76 tahun itu akan mengetahui dengan tepat apa pertuduhan yang bakal beliau hadapi membabitkan wang yang dibayar kepada bintang lucah pada 2016 iaitu ketika dirinya di tampuk kuasa.

Trump mendakwa dia mangsa 'penganiayaan politik', namun dalam masa yang sma beliau menggunakan kes itu unutk menguatkan sokongan selain mengumpul jutaan wang dalam usahanya untuk 'menuntut'semula Rumah Putih tahun depan.

Trump dijangka meninggalkan bangunan pencakar langitnya di Fifth Avenue lewat pagi (waktu tempatan) untuk melakukan perjalanan 9.6 kilometer ke kompleks Mahkamah Manhattan di mana dia akan menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Beribu-ribu polis, dan bilangan penyokong dan pengkritik Trump akan berada di jalanan untuk perjalanan yang akan disiarkan secara langsung di AS.

Bagaimanapun belum diketahui sama ada pendengaran kes itu akan disiarkan di televisyen.

Trump berkemungkinan akan menjalani prosedur tempahan standard untuk diambil cap jari – dan berpotensi diambil gambar, yang akan menghasilkan gambar 'mug shot' terkenal.

Beliau juga tidak dapat dipastikan samaada akan mengikut prosedur biasa bagi mereka yang dibawa ke mahkamah.

Begitu juga tidak dapat dipastikan sama ada Trump akan dibawa memakai gari dan melalui media - (ia tidak mungkin untuk bekas presiden yang di bawah perlindungan Perkhidmatan Rahsia AS).

Apa yang pasti kata peguam Trump, anak guam mereka akan membuat pengakuan tidak bersalah atas semua pertuduhan di mahkamah.

Pertuduhan terhadap Trump dijadualkan pada jam 2.15 petang waktu tempatan (jam 2.15 pagi waktu Malaysia).

Kira-kira 30 pertuduhan berkaitan penipuan perniagaan termasuk

kes pembayaran kepada pelakon filem dewasa, dijangka akan dibongkar semasa perbicaraan, yang mungkin hanya berlangsung sekitar 15 minit.

Selepas itu, Trump dijangka pulang terus ke Florida, di mana dia bercadang untuk mengadakan sidang media.

Trump didakwa minggu lalu oleh juri besar dalam kes yang dibawa oleh Peguam Daerah Manhattan Alvin Bragg.

Tuduhan itu berkisar tentang penyiasatan $130,000 (RM573,160.81) yang dibayar kepada pelakon Stormy Daniels hanya beberapa hari sebelum kemenangan pilihan raya Trump.

Bekas peguam dan pembantu Trump, Michael Cohen, yang sejak itu menentang bekas bosnya, berkata dia mengatur pembayaran kepada Daniels sebagai pertukaran untuk dia berdiam diri tentang Trump.

Isteri ketiganya, Melania ketika itu baru melahirkan anak, menafikan hubungan sulit itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 6:14 PM