KEMBAR berkenaan bertemu semula pada usia 36 tahun. FOTO Agensi
KEMBAR berkenaan bertemu semula pada usia 36 tahun. FOTO Agensi
Agensi

New York: Selepas terpisah sejak lahir, pasangan kembar seiras, Molly Sinert dan Emily Bushnell akhirnya bertemu semula pada ulang tahun kelahiran mereka yang ke-36.

Daily Star melaporkan mereka dilahirkan di Korea Selatan namun terpisah selepas dijadikan anak angkat keluarga yang berlainan.

Molly membesar di Florida manakala Emily pula dibesarkan di Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS).

Kedua-duanya tidak tahu mereka ada pasangan kembar sehingga ujian DNA (asid deoksiribonukleik) mengesahkannya.

Ujian DNA itu dilakukan kerana anak perempuan Emily, Isabel, 11, teringin untuk mengetahui salasilah keluarga ibunya.

"Saya lakukan ujian DNA kerana ibu adalah anak angkat. Jadi saya ingin tahu sama ada saya mempunyai ahli keluarga lain daripada keluarga ibu," katanya.

Sementara itu, Molly juga melakukan ujian DNA dengan alasan yang sama.

"Saya klik pada ikon saudara terdekat dan mendapati keputusan ujian menunjukkan saya berkongsi 49.96 peratus DNA dengan Emily.

"Sudah tentu dia bukan anak perempuan saya kerana saya tidak pernah melahirkan zuriat," katanya sebelum mengetahui Emily adalah kembarnya.

Sebelum bertemu, Molly dan Emily hanya berhubung menerusi telefon dan berkongsi gambar.

Mereka juga nekad tidak membuat panggilan video sehingga hari pertemuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 7:30 AM