Pemenang Wave Award 2021. FOTO ihsan FiTA UiTM.
Pemenang Wave Award 2021. FOTO ihsan FiTA UiTM.
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Dark, Penyiasat Malam dan Apalid diangkat sebagai pemenang hadiah utama pertandingan filem pendek dan tarian, Wave Award 2021 yang melabuhkan tirainya, baru-baru ini.

Ia sekali gus membolehkan setiap pemenang menerima wang tunai RM5,000, sijil dan trofi.

Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid berkata, penganjuran Wave Awards 2021 mampu mempertahankan industri seni negara yang kini sedang berdepan situasi mencabar disebabkan pandemik Covid-19.

"Inisiatif Finas termasuklah menyediakan Dana Kandungan Digital (DKD) bagi menggalakkan pembudayaan norma baharu dalam penghasilan karya kreatif.

"Justeru, dalam usaha mengukuhkan kemampanan Industri Kreatif negara, Finas amat berbangga dengan inisiatif penganjuran Wave Awards 2021," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Dr Roziah Mohd Janor berkata, penganjuran Wave Awards 2021 membuktikan pelajar FiTA memiliki tahap profesionalisme tinggi dalam bidang seni persembahan dan kreatif.

Katanya, proses pembelajaran secara praktis ini sejajar dengan aspirasi UiTM dalam menuju ke arah universiti terkemuka dunia.

Untuk rekod, Dark karya Affan Rosdi (UiTM) mengungguli Filem Pendek Kategori IPT; Penyiasat Malam karya Produksi Bin Filem mengungguli Filem Pendek Kategori Terbuka manakala Apalid menjuarai Pertandingan Tarian Kategori Terbuka.

Dalam pada itu, bagi Anugerah Pilihan Khalayan (Yayasan Hasanah) Kategori Tarian, diungguli Sunduan Parai (Semangat Padi) karya Pridansa SMK Tun Fuad Stephens Kiulu Tuaran Sabah.

Anugerah Pilihan Khalayak (Finas) Kategori Filem Pendek pula dimenenangi Produksi Astro Kasih, dengan filem pendeknya Cerita Emily.

Kedua-dua anugerah pilihan ini membolehkan pemenang membawa pulang wang tunai RM3,000, sijil dan trofi.

Untuk rekod, Wave Awards 2021 yang dianjurkan secara maya itu menerima lebih 200 penyertaan dalam pelbagai kategori.

Pertandingan anjuran FiTA UiTM Puncak Perdana itu mempertaruhkan hadiah keseluruhan sebanyak RM33,000 kepada pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 7:24 PM