JAMAL Khashoggi. FOTO fail AFP
JAMAL Khashoggi. FOTO fail AFP
AFP

Washington: Amerika Syarikat (AS) mendesak Arab Saudi untuk mengambil tindakan lanjut berhubung dengan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi selepas Washington dikritik kerana tidak menyasarkan secara langsung kepada Putera Mahkota Mohammed Salman.

Presiden Joe Biden pada Jumaat menyiarkan laporan perisikan yang menyatakan bahawa Salman bersetuju dengan pembunuhan Khashoggi di pejabat konsulat Arab Saudi di Istanbul, pada 2018.

Pada kejadian itu, Khashoggi dikatakan dibunuh sebelum anggota badannya dipotong-potong.

Laporan itu yang tidak didedahkan ketika pentadbiran bekas presiden Donald Trump yang didakwa sekutu kepada Arab Saudi menyatakan bahawa tujuh daripada 15 ahli skuad khas terbang ke Istanbul, adalah pasukan yang ditubuhkan untuk 'mempertahankan Putera Mahkota' dan mendapat arahan langsung daripada Putera Mahkota berkenaan.

"Kami sudah menggesa Arab Saudi membubarkan kumpulan ini dan melakukan reformasi sistematik dan kawalan untuk memastikan kegiatan seperti ini dihentikan sepenuhnya.

"Kami sudah membuat kenyataan yang jelas dan akan terus mempertahankan bahawa pembunuhan wartawan itu - dalam tempoh 28 bulan lalu - adalah tindakan yang tidak boleh diterima," kata jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price kepada wartawan.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki ketika ditanya mengapa tiada tindakan diambil ke atas Putera Mahkota berhubung kes pembunuhan terbabit pula memaklumkan AS biasanya tidak menyekat pemimpin asing.

Ia meskipun AS pernah mengambil tindakan terhadap pegawai kanan daripada negara-negara tertentu.

Bagaimanapun, beliau memberi isyarat Putera Mahkota itu tidak akan terlepas begitu sahaja.

"Tentu saja kami berhak mengambil tindakan pada bila-bila masa dan menerusi apa-apa cara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 9:31 AM