FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Brasilia: Remaja lelaki Brazil berusia 16 tahun yang kecewa kerana telefon bimbitnya diambil, menembak mati ibu bapa dan adik perempuannya di rumah keluarga itu.

Pembunuhan tiga kali itu berlaku di Sao Paulo, Jumaat lalu, tetapi hanya diketahui pada Isnin apabila remaja itu menghubungi polis dan mengakui perbuatannya, kata kementerian keselamatan tempatan dalam satu kenyataan.

Ketua penyiasat, Roberto Afonso berkata, remaja itu adalah anak angkat dan sangat kecewa selepas ibu bapanya mengambil telefonnya kerana pertengkaran.

Remaja itu memberitahu penyiasat bahawa dia memegang pistol milik bapanya, seorang anggota polis perbandaran, dan menembak belakang mangsa.

Dia kemudian naik ke tingkat atas dan menembak muka kakaknya yang berusia 16 tahun.

Tidak cukup dengan itu, remaja terbabit turut membunuh ibunya yang tiba di rumah beberapa jam kemudian dengan senjata sama, kata polis.

Bapa suspek berusia 57 tahun, manakala ibunya, 50 tahun.

"Kami perlu memahami sama ada ini adalah kekecewaan yang berkaitan dengan beberapa jenis gangguan psikologi," kata Afonso kepada penyiar Brazil, TV Record.

Polis juga sedang menyiasat sama ada individu lain terbabit, termasuk kemungkinan suspek bercakap dengan sesiapa melalui telefon.

Remaja itu kekal di dalam rumah bersama tiga mayat itu sejak Jumaat hingga awal Isnin, sewaktu dia ditahan.

Pada masa itu, dia pergi ke gimnasium dan kedai bagi membeli roti.

"Disebabkan masih marah, dia menikam mayat ibunya dengan pisau pada Sabtu," kata Afonso.

Susulan kes itu, remaja berkenaan ditahan di pusat tahanan juvana dan bersikap dingin ketika bercakap mengenai jenayah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 12:27 PM