FOTO HIASAN. FOTO Reuters
FOTO HIASAN. FOTO Reuters
Reuters

Santiago: Kementerian Kesihatan Chile mengesahkan kes pertama selesema burung menjangkiti manusia di negara itu.

Menurut kenyataan kementerian itu semalam, kes itu dikesan pada seorang lelaki berusia 53 tahun yang menunjukkan gejala influenza teruk, namun pesakit berada dalam keadaan stabil.

Kerajaan juga sedang menyiasat punca penularan serta orang lain yang berhubung dengan pesakit.

Chile melaporkan kes selesema burung H5N1 dalam haiwan liar sejak penghujung tahun lalu.

Kes-kes terkini di ladang industri menyebabkan kerajaan menghentikan eksport ayam itik.

Kes sama juga dikesan di Argentina, namun Brazil, pengeksport ayam terbesar di dunia, kekal bebas daripada penularan itu.

Pihak berkuasa kesihatan Chile menyatakan virus itu boleh disebarkan daripada burung atau mamalia laut kepada manusia, namun setakat ini tiada penularan dari manusia ke manusia.

Awal tahun ini, Ecuador mengesahkan kes pertama penularan kepada manusia membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun.

Pegawai kesihatan global berkata, risiko penularan antara manusia adalah rendah, namun pembuat vaksin menyediakan suntikan selesema burung untuk manusia sebagai langkah berjaga-jaga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 9:42 AM