ANAK gajah kembar dilahirkan di Kenya. FOTO X/ Save the Elephants
ANAK gajah kembar dilahirkan di Kenya. FOTO X/ Save the Elephants
AFP

Nairobi: Seekor gajah di Kenya melahirkan anak kembar, kata kumpulan pemuliharaan pada Jumaat, kejadian yang jarang berlaku untuk mamalia darat terbesar itu.

Save the Elephants berkata, kembar dua betina itu dilahirkan di Rizab Negara Samburu di utara Kenya oleh ibu gajah bernama Alto.

Kumpulan pemuliharaan itu menyifatkannya sebagai kegembiraan berganda.

Hanya kira-kira satu peratus daripada kelahiran gajah adalah kembar. Pernah berlaku pada 2022 juga di Rizab Negara Samburu, kembar jantan dan betina, dilahirkan.

Video yang disiarkan di X, sebelum ini Twitter, oleh Save the Elephants, menunjukkan anak gajah itu makan dengan ibu mereka, bersama ahli kumpulan lain.

Gajah Afrika mempunyai tempoh kehamilan terbesar daripada mana-mana mamalia hidup, mengandungkan anak selama hampir 22 bulan, dan melahirkan anak kira-kira setiap empat tahun.

Bagaimanapun, gajah dilahirkan kembar sering tidak bernasib baik. Sepasang kembar sebelum ini yang dilahirkan di Samburu pada 2006 gagal bertahan lebih daripada beberapa hari.

Gajah savana Afrika diklasifikasikan sebagai terancam oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa (IUCN), yang mengatakan pemburuan haram dan pemusnahan habitat mempunyai kesan buruk terhadap bilangan gajah di Afrika secara keseluruhan.

Menurut Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya, terdapat lebih daripada 36,000 gajah di negara Afrika Timur itu, dengan usaha untuk membendung pemburuan haram bagi menghentikan penurunan bilangan.

Ia menjelaskan populasi gajah di Kenya berjumlah 170,000 pada 1970-an dan awal 1980-an tetapi menjunam kepada hanya 16,000 pada akhir 1989 kerana permintaan untuk gading.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 3:39 PM