TENTERA India yang turut bertugas sebagai tentera pengaman PBB di Congo. FOTO fail Reuters
TENTERA India yang turut bertugas sebagai tentera pengaman PBB di Congo. FOTO fail Reuters
BERNAMA

Kigali: Seorang anggota pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terbunuh, manakala seorang lagi cedera apabila helikopter yang mereka naiki diserang di Republik Demokratik Congo pada Ahad, menurut tentera PBB yang dikenali sebagai Monusco.

Serangan itu dilaporkan berlaku pada petang Ahad di wilayah Kivu Utara yang bergolak, menurut satu kenyataan.

"Helikopter Monusco yang berlepas dari Beni ke Goma diserang, menyebabkan kematian seorang anggota pengaman, manakala seorang lagi cedera parah," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan itu.

Pesawat itu bagaimanapun berjaya mendarat di lapangan terbang Goma.

Menurut laporan, anggota pengaman yang terbunuh berasal dari Afrika Selatan.

Ketua Monusco, Bintou Keita memberi amaran bahawa serangan ke atas pasukan pengaman boleh menjadi jenayah perang dan bahawa "pelbagai usaha akan dilaksanakan bagi membawa pelaku ke muka pengadilan."

Keita mengutuk sekeras-kerasnya insiden berkenaan sambil menyifatkannya sebagai "serangan pengecut" ke atas pesawat yang mempunyai lambang PBB.

Negara itu terus bergolak, dengan 5.7 juta orang hilang tempat tinggal di tengah-tengah krisis makanan, menurut PBB.

Tentera PBB ditempatkan di DR Congo sejak 1999.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 12:25 PM