ANGEL dipaksa menjual barangan miliknya sebagai hukuman kerana memandu tanpa lesen. FOTO Agensi
ANGEL dipaksa menjual barangan miliknya sebagai hukuman kerana memandu tanpa lesen. FOTO Agensi
Agensi

Phoenix: Sepasang suami isteri di Arizona, Amerika Syarikat (AS) menghukum anak mereka dengan menjual barangan peribadinya sebagai denda kerana memandu kenderaan tanpa lesen.

Remaja itu, Angel Martinez, 14, dari sini, dihukum sedemikian selepas ditahan polis ketika memandu kereta milik keluarganya, awal bulan ini.

Oddity Central melaporkan ibu bapa remaja itu menerima panggilan telefon daripada polis mengenai kesalahan dilakukan anaknya ketika mereka meraikan sambutan ulang tahun perkahwinan di Las Vegas.

Akibatnya, pasangan itu terpaksa membatalkan sambutan berkenaan dan pulang ke rumah sebelum mengambil keputusan 'mengosongkan' bilik anaknya itu.

Mereka kemudian mengeluarkan semua barangan peribadi seperti set perabot bilik tidur termasuk katil, televisyen dan pakaian.

Selepas itu, mereka melonggokkan semua barangan berkenaan di luar rumah

Difahamkan, semua barangan berkenaan untuk dijual.

Remaja itu juga diarahkan duduk di katil di tepi jalan dengan papan tanda tertulis: 'Saya minta maaf kerana mencuri kereta ibu bapa saya dan memandu laju'.

Bapanya, Ramon berkata, kejadian itu bukan kesalahan pertama dilakukan Angel.

Sehubungan itu, mereka terpaksa mengambil langkah sedemikian kerana mahu memberi pengajaran kepada remaja itu.

Memandangkan tiada lagi barangan di dalam bilik Angel, dia dilaporkan terpaksa tidur di lantai di ruang tamu buat masa ini.

Namun, sekurang-kurangnya remaja itu belajar daripada kesalahan berkenaan.

Menurut Angel, dia mengakui kesilapannya yang memandu kereta tanpa lesen.

"Agak pelik, tetapi saya rasa ia hukuman yang adil," katanya kepada Fox 10.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 7:30 AM