ABDULLAH ajar Salwa ketawa setiap kali bunyi bom bagi menenangkan anaknya.
ABDULLAH ajar Salwa ketawa setiap kali bunyi bom bagi menenangkan anaknya.
Agensi

KANAK-kanak perempuan Syria yang videonya tular kerana ketawa setiap kali mendengar bunyi bom selamat sampai ke Turki.

India Today yang memetik laporan Indo-Asian News Service (AINS) berkata, Salwa, 3, tiba di negara ini, Rabu lalu.

Sebelum ini, kisah Salwa menarik perhatian warganet yang menonton video kanak-kanak itu dan bapanya, Abdullah Mohammad.

Mereka tinggal berhampiran Idlib, wilayah terakhir dikuasai kumpulan pemberontak yang disokong tentera Turki di Syria.

Idlib ketika ini masih dihujani serangan tentera kerajaan yang mahu mengambil alih penguasaan wilayah berkenaan.

Konflik berlarutan itu menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal.

Bagi mengalih perhatian Salwa, Abdullah mengajar anaknya ketawa setiap kali terdengar bunyi bom.

Kaedah itu terbukti menenangkan anaknya, meskipun negara itu dalam kancah perang saudara.

Video Salwa ketawa setiap kali mendengar bunyi letupan bom menarik perhatian pengguna Internet yang bersimpati dengan nasib keluarga itu.

Susulan itu, kerajaan Turki membantu keluarga Salwa keluar dari tempat tinggal mereka dan memasuki Turki.

Dalam pada itu, agensi berita Anadolu melaporkan keluarga Salwa dibawa memasuki Turki menerusi pintu sempadan di Cilvegozu.

Mereka dibawa ke kem pelarian di Reyhanli, selatan Turki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 6:01 AM