ANGGOTA bomba menunjukkan bangunan menempatkan anak yatim terbakar. FOTO AFP.
ANGGOTA bomba menunjukkan bangunan menempatkan anak yatim terbakar. FOTO AFP.
Reuters

Port-au-Prince (Haiti): Lima belas anak yatim maut selepas rumah kebajikan yang dibina kumpulan agama Amerika Syarikat musnah dalam kebakaran pada Jumaat.

Dua kanak-kanak dilaporkan rentung, manakala 13 yang lain maut akibat sesak nafas ekoran asap tebal.

Setakat ini punca kebakaran belum dapat dipastikan, namun difahamkan seorang daripada penghuni menggunakan lilin kerana ketiadaan bekalan elektrik disebabkan generator yang tidak berfungsi.

KEADAAN bilik yang musnah akibat kebakaran. FOTO Reuters.
KEADAAN bilik yang musnah akibat kebakaran. FOTO Reuters.

Pengarah Institut Kebajikan Sosial. Arielle Jeanty Villedrouin berkata, kumpulan yang menguruskan rumah kebajikan itu tidak mempunyai lesen dan rumah berkenaan menempatkan 60 penghuni.

Menurutnya, majoriti kanak-kanak yang menetap di rumah kebajikan berkenaan adalah mereka dari keluarga kurang berkemampuan selepas kehilangan harta benda akibat gempa bumi yang berlaku di Haiti pada 2010.

“Kami akan pergi ke pusat penempatan sementara yang menempatkan mangsa yang selamat bagi mengumpul maklumat.

“Mungkin boleh membantu menemukan semula anak yatim dengan keluarga masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 11:29 AM