SENGAR dipecat daripada Parti Bharatiya Janata (BJP)
SENGAR dipecat daripada Parti Bharatiya Janata (BJP)
AFP

NEW DELHI: Seorang ahli Parlimen dipenjara seumur hidup kerana merogol seorang remaja, selepas kes itu mendapat perhatian apabila mangsa membakar dirinya kerana putus asa tiada tindakan diambil untuk tempoh lama.

Bapa mangsa turut meninggal dunia dalam tahanan polis, sehari selepas gadis itu membakar dirinya. Mangsa sekeluarga mendakwa bapanya diseksa kerana enggan menarik balik kes berkenaan.

Mangsa sendiri juga parah dalam satu nahas kenderaan yang dipercayai sengaja diadakan untuk menakutkannya.

Susulan itu, Isnin lalu mahkamah mensabitkan Kuldeep Singh Sengar atas tuduhan merogol mangsa yang ketika itu baru berusia 17 tahun di kediaman tertuduh di Uttar Pradesh pada 2017. Hukumannya diputuskan hari ini.

Sengar, 53, dipecat daripada parti pemerintah pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi, Parti Bharatiya Janata (BJP) pada Ogos lalu selepa kes itu mula mendapat perhatian, tetapi masih memegang jawatan ahli Parlimen.

Press Trust of India memetik hakim yang menjatuhkan hukuman berkata: “Mahkamah tidak mendapati sebarang faktor yang dapat meringankan hukuman tertuduh. Sengar penjawat awam dan mengkhianati kepercayaan rakyat.”

Polis di negeri di utara India itu enggan mengambil tindakan selepas mangsa cuba melaporkan kejadian berkenaan.

Hampir setahun selepas kejadian, remaja itu cuba membakar diri di luar pemimpin Uttar Pradesh yang juga orang kuat BJP, Yogi Adityanath sebagai tanda protes.

Perbicaraan berasingan sedang berlangsung berhubung nahas jalan raya yang mengakibatkan remaja berkenaan parah, dengan desas-desus mengatakan ia dilaksanakan atas arahan Sengar.

Kes itu dipindahkan ke New Delhi sejak 5 Ogos lalu atas arahan Mahkamah Agung kerana Sengar amat berpengaruh di Uttar Pradesh.

Sengar dibicarakan mengikut undang-undang perlindungan kanak-kanak kerana mangsa masih bawah umur ketika itu. Dia turut didenda 2.5 juta rupee (RM145,000).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 8:20 PM