GAMBAR fail menunjukkan pelampau Hindu ketika menyerang dan membakar Masjid Babri di Ayodhya, Uttara Pradesh pada Disember 1992. - Agensi
GAMBAR fail menunjukkan pelampau Hindu ketika menyerang dan membakar Masjid Babri di Ayodhya, Uttara Pradesh pada Disember 1992. - Agensi
Agensi

New Delhi: Mahkamah Agung India semalam mengarahkan empat pemimpin kanan parti pelampau Hindu, Parti Bharatiya Janata (BJP) dibicarakan berkait dengan serangan terhadap sebuah masjid lama pada 1992 yang mencetuskan keganasan antara penganut Hindu dan Islam sehingga menyebabkan ribuan orang terbunuh.

Sebuah mahkamah rendah sebelum ini menggugurkan tuduhan terhadap keempat-empat pemimpin berkenaan.

Pelampau Hindu mendakwa Masjid Babri yang didirikan pada abad ke-16 dibina di atas tempat lahir tuhan mereka, Ram selepas ia dimusnahkan penduduk Islam.

Dengan menggunakan pelbagai kelengkapan, mereka memusnahkan masjid itu serta membakarnya pada Disember 1992.

Serangan ke atas masjid yang terletak di Ayodhya, 550 kilometer ke timur New Delhi itu mencetuskan keganasan Hindu-Islam paling buruk dalam tempoh puluhan tahun di India, menyebabkan kira-kira 2,000 orang mati.

Ribuan lagi terbunuh dalam keganasan lain yang berkait dengan kejadian itu.

Pelampau Hindu, termasuk anggota BJP berkata, mereka mahu membina kuil baru untuk Tuhan Ram mereka di tapak itu.

Keempat-empat pemimpin parti itu - LK Advani, Murli Manihar Jushi, Uma Bharti dan Kalyan Singh - dituduh menyampaikan ucapan untuk menghasut ribuan pengikut mereka yang yang berkumpul di Ayodhya sebelum mereka menyerang masjid berkenaan.

Perintah Mahkamah Agung itu menyusuli desakan Biro Siasatan Pusat, agensi penyiasatan utama India, supaya tuduhan dikenakan semula ke atas pemimpin kanan BJP itu.

Daripada empat pemimpin itu yang akan dibicarakan, Singh dilindungi perlembagaan kerana dia kini menjadi gabenor Rajashtan, negeri di utara India. Ini bermakna perbicaraannya akan bermula selepas penggalnya berakhir.

Ketika masjid itu dibakar pada 1992, Singh ialah ketua menteri Uttar Pradesh, tempat terletaknya Ayodhya.

Menurut perintah mahkamah itu semalam, perbicaraan akan diadakan di Lucknow, ibu negeri Uttar Pradesh.

Satu kes berasingan kini dalam perbicaraan, membabitkan 20 orang yang dituduh terbabit secara langsung memusnahkan masjid itu.

Mahkamah Agung itu berkata, kedua-dua perbicaraan akan digabung dan keputusan akhir akan dicapai dalam masa dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 5:28 AM