PEMANDANGAN menunjukkan Taj Mahal, di Agra yang menjadi antara bandar utama di negeri Uttar Pradesh, India. FOTO AFP
PEMANDANGAN menunjukkan Taj Mahal, di Agra yang menjadi antara bandar utama di negeri Uttar Pradesh, India. FOTO AFP
Reuters

New Delhi: Pihak berkuasa Uttar Pradesh, negeri yang paling ramai penduduk di India mengharamkan pengedaran dan penjualan produk yang diperakui halal, termasuk produk tenusu, pakaian dan ubat-ubatan dengan mengatakan ia menyalahi undang-undang.

Produk roti, gula, minyak makan dan produk lain yang dilabel sebagai 'Disahkan Halal' oleh syarikat yang mengeluarkannya akan diharamkan daripada pengedaran dan penjualan, kata pemberitahuan kerajaan negeri pada Sabtu.

"Pensijilan halal produk makanan adalah sistem selari yang menimbulkan kekeliruan mengenai kualiti barangan makanan," kata pemberitahuan itu.

Pihak Berkuasa Keselamatan dan Piawaian Makanan India (FSSAI) ialah badan tertinggi negara itu yang bertanggungjawab menentukan piawaian bagi kebanyakan produk makanan yang dijual di India dan menentukan piawaian produk makanan yang harus dipenuhi, kata pemberitahuan itu.

Uttar Pradesh diperintah oleh Yogi Adityanath yang juga ahli Parti India Bharatiya Janata (BJP), parti Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Uttar Pradesh adalah negeri terbesar dan paling ramai penduduk di India.

Kedua-dua Adityanath dan kerajaan dituduh oleh pengkritik bahawa mereka mempunyai agenda memecahbelahkan terhadap penduduk Islam yang besar di negeri itu, yang mereka nafikan secara konsisten.

"Agama tidak boleh dibawa ke dalam makanan. Terdapat banyak barangan seperti pakaian, gula, dan lain-lain yang dicap sebagai Halal, yang menyalahi undang-undang," kata jurucakap BJP negeri, Rakesh Tripathi kepada Reuters pada Isnin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 12:59 PM