KEJADIAN akibat Taufan Kammuri. FOTO Reuters.
KEJADIAN akibat Taufan Kammuri. FOTO Reuters.
Reuters

MANILA: Angka kematian akibat Taufan Kammuri yang membadai beberapa wilayah di selatan Filipina meningkat kepada 10 orang, kata agensi bencana hari ini.

Reuters yang memetik agensi itu berkata, lima termasuk tiga mangsa yang lemas dilaporkan maut di tengah wilayah Bicol manakala selebihnya di wilayah lain di selatan ibu kota.

Jurucakap agensi bencana, Mark Timbal memberitahu stesen televisyen ANC berkata, kira-kira 345,000 penduduk masih berada di pusat pemindahan sementara menunggu kebenaran pulang.

“Ribut itu menyebabkan kerosakan biasa termasuk pokok tumbang, kerosakan bumbung rumah dan kemudahan kerajaan,” katanya.

Taufan yang ke-20 melanda Filipina tahun ini mula membadai malam kelmarin menyebabkan ribuan penduduk terpaksa berpindah manakala beratus jadual penerbangan dibatalkan.

Ia turut menjejaskan jadual beberapa acara Sukan SEA yang berlangsung hingga 11 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 11:45 AM