SEBUAH kereta polis terkandas di sebatang jalan yang dinaiki air akibat taufan Nock-Ten di Quezon, utara Manila semalam. - AP
SEBUAH kereta polis terkandas di sebatang jalan yang dinaiki air akibat taufan Nock-Ten di Quezon, utara Manila semalam. - AP
AFP

Ligao (Filipina): Taufan kuat yang melanda Filipina menyebabkan tiga maut dan dijangka membawa hujan lebat dan angin kuat di sebahagian besar negara itu sekali gus menjejaskan cuti perayaan Krismas.

Taufan Nock-Ten melanda wilayah timur Filipina kelmarin dan dijangka bergerak menuju ke bahagian tengah negara itu dengan membawa angin sekuat 215 kilometer sejam.

Satu pasangan di wilayah Albay Al Bichara maut akibat lemas selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat dan seorang lelaki maut dihempap tembok runtuh.

Pejabat pertahanan awam berkata, lebih 383,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka manakala lebih 80 penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan.

Jabatan kaji cuaca meramalkan, Nock-Ten bergerak ke barat laut dengan kelajuan 20 kilometer sejam dan dijangka menjejaskan Manila serta kawasan berhampiran.

Suasana di Manila sunyi sehari selepas Krismas apabila kira-kira 13 juta penduduknya tidak keluar rumah ketika taufan itu menghampiri.

Nock-Ten dijangka membawa angin kencang dan hujan lebat yang mencetuskan banjir kilat di Manila.

Taufan itu menyebabkan bekalan elektrik terputus dan kerajaan terpaksa memindahkan keseluruhan komuniti di wilayah Bicol pada malam Krismas.

Di bandar Ligao di wilayah Bicol, kebanyakan jalan raya dan tanah pertanian ditenggelami air dan kebanyakan rumah masih diliputi lumpur tebal, kesan banjir kilat.

Seorang penduduk, Masseuse Erna Angela Pintor, 20, berkata, dia dan keluarganya tidak tidur pada malam Krismas kerana bimbang angin kencang menerbangkan bumbung rumah mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 7:52 AM