SEORANG penunjuk perasaan Palestin melemparkan batu ketika bantahan  dekat sempadan  Israel dan Gaza Timur. FOTO EPA
SEORANG penunjuk perasaan Palestin melemparkan batu ketika bantahan dekat sempadan Israel dan Gaza Timur. FOTO EPA
Agensi

BAITULMAQDIS: Penembak hendap tentera Israel hanya didenda hukuman kerja keras selama sebulan kerana membunuh kanak-kanak Palestin yang menyertai bantahan di sempadan Gaza.

Menurut laporan Middle Eeast Monitor (MEM) yang memetik Times of Israel, tentera terbabit didapati bersalah oleh mahkamah tentera bagi tuduhan menyebabkan kematian Othman Hilles, 14, yang ditembak ketika menyertai bantahan pada 13 Julai 2018.

Ia adalah sabitan pertama berhubung kematian 270 penduduk Palestin, termasuk kanak-kanak, remaja, anggota perubatan dan wartawan sepanjang perhimpunan Perarakan Pulang.

Sepanjang bantahan itu, tentera Israel melepaskan 7,000 tembakan peluru hidup.

HILLES
HILLES

Meskipun Hilles yang ditembak itu tidak bersenjata dan tidak mengancam tentera Israel, penembak terbabit hanya disabitkan dengan kesalahan ‘tidak mematuhi arahan membawa kepada mengancam nyawa atau kesihatan’, bukannya membunuh.

Isnin lalu, mahkamah tentera mengenakan denda sebulan kerja keras dan diturunkan pangkat terhadap penembak itu.

Kejadian Hilles ditembak dirakam melalui video iaitu faktor utama tentera terbabit dibicarakan.

Menurut tentera Israel, anggota terbabit melakukan kesalahan ‘menembak perusuh Palestin yang memanjat pagar sempadan tanpa mendapatkan kebenaran ketuanya’.

Menurut laporan agensi berita Anadolu semalam, hampir 270 penduduk Palestin terbunuh sepanjang tunjuk perasaan itu dan ribuan lagi cedera, termasuk 59 orang hujung minggu lalu, akibat ditembak tentera Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 6:56 AM