PENGIMEJAN dari NASA menunjukkan kawasan kebakaran di benua Afrika. FOTO Mail Online
PENGIMEJAN dari NASA menunjukkan kawasan kebakaran di benua Afrika. FOTO Mail Online
Agensi

BRASILIA: Ketika dunia dikejutkan dengan kebakaran hutan Amazon, Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Amerika Syarikat (NASA) mendedahkan berlakunya kebakaran yang berleluasa membabitkan hutan di Afrika.

Daily Mail melaporkan, kebakaran itu membabitkan kawasan hutan seluas lebih satu juta batu persegi di Congo Basin dan disifatkan sebagai kawasan hijau terbesar dunia selepas Amazon.

Hutan di Afrika meliputi beberapa negara termasuk Republik Demokratik Congo, Gabon, Congo, Cameroon dan Madagascar.

Menurut Weather Source, kebakaran di Angola berlaku secara meluas dalam tempoh 48 jam berbanding kejadian di Brazil.

ANGGOTA bomba bertungkus-lumus memadam api kebakaran di Hutan Simpan Jacunda, Brazil semalam. FOTO Mail Online
ANGGOTA bomba bertungkus-lumus memadam api kebakaran di Hutan Simpan Jacunda, Brazil semalam. FOTO Mail Online

“Kebakaran hutan di Afrika bukan disebabkan punca yang sama. Hutan Amazon musnah disebabkan kemarau dan perubahan iklim tetapi di tengah Afrika akibat teknik pertanian,” kata duta dan perunding iklim Congo, Tosi Mpanu Mpanu.

News.com.au melaporkan, beberapa gambar didedahkan NASA menunjukkan keadaan yang membimbangkan di tengah Afrika apabila kebanyakan kawasan hutan musnah bermula dari Gabon ke Angola.

Menerusi sidang kemuncak G7 minggu ini, Presiden Perancis, Emmanuel Macron membuat hantaran di akaun Twitter mengenai kejadian itu sambil menjelaskan negara anggota meneliti langkah sama seperti dicadangkan untuk Brazil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 8:26 PM