KEMUSNAHAN hutan  yang disebabkan oleh kebakaran di Brasilia, Brazil. FOTO Reuters
KEMUSNAHAN hutan yang disebabkan oleh kebakaran di Brasilia, Brazil. FOTO Reuters
Reuters

BRASILIA: Presiden Brazil Jair Bolsonaro menyelar ‘campur tangan terhadap kedaulatan negaranya’ oleh pihak yang menyumbangkan wang bagi pemeliharaan hutan Amazon, malah menuduh Presiden Perancis, Emmanuel Macron mempunyai ‘mentaliti penjajah’ dalam pada kebakaran di rantau itu semakin dikritik di seluruh dunia.

Macron dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres antara yang menyuarakan kebimbangan terhadap bencana di Amazon itu, yang mencapai rekod tertinggi tahun ini seterusnya memusnahkan sejumlah besar hutan yang dianggap benteng penting terhadap perubahan iklim.

“Negara yang menghantar wang ke sini bukannya ikhlas melakukannya demi kebajikan, sebaliknya untuk mencampuri kedaulatan kita,” kata Bolsonaro dalam siaran Facbeook Live.

AFP melaporkan, dia turut menyelar Macron ‘bermentaliti penjajah’ kerana menyeru negara G-7 membincangkan isu itu pada perjumpaan yang dijadualkan hujung minggu ini.

Bagaimanapun, Bolsonaro turut mengaku Brazil kekurangan sumber untuk menangani masalah itu, lapor Reuters.

JAIR Bolsonaro. FOTO Agensi
JAIR Bolsonaro. FOTO Agensi

“Amazon lebih besar daripada Eropah. Bagaimana untuk melawan penjenayah di kawasan sebesar itu? Kami tiada sumber untuk melakukannya,” katanya kepada pemberita.

Ini berbeza dengan pendiriannya beberapa minggu lalu yang mendakwa Brazil tidak memerlukan bantuan penderma luar.

Gambar kebakaran Amazon yang dilaporkan memamah hutan hujan terbesar dunia itu tersebar di Twitter dengan tanda pagar #PrayforAmazonas paling sohor kini pada Rabu lalu.

Kebakaran di Amazon meningkat 83 peratus setakat ini tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut data kerajaan.

Walaupun kebakaran biasa berlaku ketika tempoh ini yang juga musim kemarau, aktivis alam sekitar mendakwa peningkatan mendadak tahun ini akibat petani membakar kawasan hutan untuk diusahakan.

Mereka turut mendakwa perkara itu secara tidak langsung digalakkan Bolsonaro yang lantang menganggap Brazil patut membuka Amazon untuk kepentingan perniagaan termasuk perlombongan, pertanian dan pembalakan.

Amazon adalah hutan tropika terbesar dunia dengan kawasan seluas 5.5 juta kilometer persegi.

Lembangan Amazon seluas 7.4 juta kilometer persegi meliputi hampir 40 peratus Amerika Latin merangkumi sembilan negara - Bolivia, Brazil, Colombia, Ecuador, Guiana Perancis, Guyana, Peru, Suriname serta Venezuela. Sebanyak 60 peratus berada di Brazil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 6:47 AM